Oleh: Ameelia binti Ibrahim

Politeknik Melaka, 18 Januari 2024 – Program Satu Hati Suri PMK telah dianjurkan oleh Puspanita PMK yang bertujuan mengumpulkan keseluruhan staf wanita bagi menyatukan ukhwah, saling berkenalan terutama bagi staf baharu yang memasuki PMK dan mengeratkan kerjasama antara mereka dalam menjayakan program ini. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah PMK, Pn. Zeyana binti Abdullah sebagai tetamu kehormat dan ucapan aluan daripada Timbalan Pengerusi Puspanita PMK, Pn. Siti Salbiah binti Ahmad Shariff.

Tidak ketinggalan juga, Mesyuarat Agong bagi pelantikan baharu jawatankuasa Puspanita 2024/2025 telah dilaksanakan. Sekalung tahniah diucapkan kepada barisan jawatankuasa yang bakal menerajui Puspanita di Politeknik Melaka dan penghargaan terima kasih kepada barisan jawatankuasa yang lama. Ditambah pula dengan pengisian ilmu dengan ceramah bicara inspirasi  yang disampaikan oleh Pn. Reni Suriani binti Hashim menjadi pengisian bermakna bagi semua staf yang hadir. Majlis yang sangat meriah ini dihiburkan oleh pengacara majlis yang sangat berbakat mengendalikan acara sepanjang program berlangsung. Setiap slot diselangi dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah, hampir keseluruhan tetamu menerima cabutan bertuah ini dan terdapat juga grand lucky draw berupa hadiah basikal yang disampaikan pada kemuncak majlis. Pengumuman Ratu Queen in Purple menjadi milik Pn. Nurul Akmal binti Ramli yang dilihat sangat menepati tema pada hari tersebut.

Kejayaan majlis ini juga adalah atas sokongan semua staf wanita yang telah menyumbang pelbagai barangan bagi cabutan bertuah, aneka sumbangan makanan yang sangat enak, ditambah dengan masing-masing membawa hadiah untuk pertukaran bersama staf yang hadir dan kesemua staf berganding bahu mengemas dewan setelah selesai program. 

Semoga program sebegini dapat dijadikan acara tahunan bagi mengeratkan ukhwah antara staf wanita di Politeknik Melaka, bak kata pepatah ‘Tak kenal, maka tak cinta’ dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat semua penyumbang mahupun secara langsung atau pun tidak. Apapun, sekalung TAHNIAH buat semua barisan jawatankuasa program dan semua staf wanita PMK!