MINGGU JMSK 2024 MENDAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA DARI SEMUA PELAJAR PMK
Sumber : Ts. Noraihan binti Isa
6 SEPTEMBER 2024, Politeknik Melaka – Program Minggu JMSK 2024 anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer telah melabuh tirainya pada harini dalam satu Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh En Zaidi bin Othman, Pengarah Politeknik Melaka yang dihadiri oleh 175 pelajar dan pensyarah Politeknik Melaka. Majlis yang diraikan dengan meriah ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Akademik, Pn. Zeyana binti Abdullah, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Dr. Azlan bin Muharram yang disambut mesra oleh Pn Hawa binti Bentong selaku Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Melaka. Minggu JMSK ini adalah merupakan salah satu program rasmi tahunan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer bagi mengeratkan silaturrahim dan ukhwah antara pensyarah dan pelajar. Melalui program ini, pembentukan sikap, nilai murni dan integriti seseorang individu dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan dinamik dapat diterapkan. Program ini juga merupakan wadah untuk menyatupadukan dan meningkatkan kerjasama sesama individu.
Melalui program kali ini, Minggu JMSK 2024 diadakan selama empat hari bermula 3 hingga 6 September 2024. Dalam program ini, Ts. Noraihan binti Isa selaku Pengarah Program Minggu JMSK 2024 menyediakan sepuluh (10) aktiviti yang dikategorikan mengikut Pertandingan Aktiviti Kejuruteraan, Pertandingan XPDC & Fun Games, Bengkel Pemantapan dan Pertandingan Mini Projek Sains Kejuruteraan dengan tema “SMART, DYNAMIC, OUTSTANDING”. Antara aktiviti yang diketengahkan adalah Pertandingan rekaan struktur Payung Terjun Telur, Binaan Tangan Mekanikal, Pertandingan Mini Sains Kejuruteraan kategori Rekabentuk Produk, Pembangunan Video Sains dan Poster Sains. Selain itu tidak lupa juga aktiviti santai dan ilmiah melalui Pertandingan Algebra Game Board, Wheel of Fortune dan Guess the Count. Melalui acara dan aktiviti ini, seramai 463 penyertaan secara keseluruhannya melibatkan pelajar dari kesemua jabatan iaitu pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Perdagangan.
Dalam ucapan penutupan program ini, En Zaidi Othman berasa teruja dengan semangat dan sambutan pelajar yang menggalakkan serta beliau berharap pengajuran program yang akan datang membawa kepada tahap aktiviti yang lebih mencabar dan ekstrem. Selain itu, melalui program yang disediakan, para pelajar juga perlu merebut peluang untuk menyertai bagi menimba ilmu dan pengalaman yang berharga.