PROGRAM LAWATAN ILMIAH KE BALAI CERAP AL-KHAWARIZMI TANJUNG BIDARA, MELAKA
Written by Nor Suriati Binti Jamaludin
Melaka, 04 September 2024 – Jabatan Pengajian Am Politeknik Melaka telah menganjurkan Program Lawatan Ilmiah ke Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka pada 4 September 2024. Program lawatan ini bermula pada jam 12.30 tengahari dan berakhir pada jam 9.30 malam bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka. Seramai 27 orang peserta telah menyertai program lawatan ini. Para peserta terdiri daripada para pelajar semester dua Jabatan Kejuteraan Mekanikal dan para pelajar semester lima Jabatan Kejuruteraan Elektrik yang mengambil kursus MPU23052-Sains Teknologi & Kejuruteraan Dalam Islam. Para pelajar diiringi oleh 6 orang pensyarah daripada Jabatan Pengajian Am.
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cerapan langit, bulan, dan bintang serta ilmu astronomi di samping mengembangkan bidang ilmu ini yang berkaitan secara langsung dengan ibadah seperti solat, puasa, dan haji seterusnya menyediakan peluang kemahiran insaniah dengan kebolehpasaran kepada graduan Politeknik Melaka.
Program lawatan ini dimulai dengan sesi ceramah slot pertama oleh Ustaz Muhammad Saifullah Bin Dimyati mengenai fungsi dan peranan Balai Cerap Al-Khawarizmi. Kemudian diikuti pula oleh ceramah slot kedua disampaikan oleh Ustaz Mohamad Fadzli Bin Mohd Razi tentang asas-asas pengendalian teleskop. Setelah itu, para pelajar berpeluang menonton tayangan planetarium serta melawat galeri
pameran yang terdapat di kompleks ini. Pada sebelah malamnya pula diadakan sesi taklimat astronomi serta para pelajar diberi kesempatan untuk menggunakan teleskop yang disediakan untuk mencerap langit malam. Para pelajar dapat melihat Hilal iaitu anak bulan serta planet Venus dari jauh melalui teleskop tersebut.
Secara keseluruhannya, program lawatan ini telah berjalan dengan jayanya. Rata-rata pelajar amat teruja mengikuti lawatan ini dan berharap agar lawatan ini dapat dianjurkan lagi pada masa yang akan datang.