POLITEKNIK MELAKA DAN KOLEJ KOMUNITI MASJID TANAH BEKERJASAMA AKTIVITI PROMOSI DI GUNUNG ANGSI
ULU BENDUL - Seramai 20 kakitangan Kementerian Pendidikan Tinggi Jabatan Pengajian Politeknik & Kolej Komuniti terdiri daripada 18 lelaki dan empat wanita Politeknik Melaka dan 2 Kolej Komuniti Masjid Tanah yang diketuai Pengarah Program Muhammad Iqbal Qayyuni bin Jamali, melakar sejarah dengan kejayaan menawan puncak Gunung Angsi, Negeri Sembilan setinggi 825 meter, 2 MAC baru-baru ini.
Memulakan pendakian pada 7.45 pagi, seramai 16 orang pendaki pelajar bidang pengajian Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kawalan) dan Diploma Perakaunan itu telah berjaya tiba di puncak gunung terbabit pada jam 10.00 pagi pada hari yang sama manakala 4 pendaki selaku pegawai pengiring lagi iaitu masing-masing seorang dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik (Kawalan) serta seorang pegawai wanita berpengalaman bersama anak bongsunya dalam mengajar Kursus Sijil Teknologi Elektrik tiba pada waktu yang sama.
Impak aktiviti pendakian Gunung Angsi
Setiap manusia ada sesuatu yang dia usahakan. Setiap yang diusahakan pasti dia menyakini akan ada kesan pada yang diusahakannya. Begitu juga apabila ada segolongan manusia mengusahakan sebuah aktiviti rekreasi pendakian Gunung Angsi di Hutan Simpan Ulu Bendul. Natijah apa yang diusahakan memberi 3 impak iaitu terhadap alam sekitar, jati diri dan persepsi terhadap keagungan ciptaan Allah Yang Maha Pencipta
Pertama, sewaktu di puncak, para peserta telah berpeluang merasai pengalaman memasak dan menikmati makanan. Pegawai Pengiring turut menyediakan kelengkapan lengkap set memasak dengan menjamu peserta yang lain. Lantaran itu setiap bungkusan makanan tidak dibiarkan begitu sahaja. Seandainya para peserta tidak dididik untuk menjaga kebersihan boleh mengakibatkan peningkatan sampah, kerosakan ekosistem, dan pencemaran. Oleh itu, adalah penting bagi peserta untuk memastikan mereka meninggalkan tapak aktiviti dalam keadaan yang lebih baik daripada yang mereka jumpai. Mengamalkan amalan etika seperti mengumpulkan semula bekas makanan dan membawa pulang semua sampah, membuang sampah di tempat yang ditetapkan, dan menghormati persekitaran semulajadi adalah cara untuk mengurangkan impak negatif terhadap kehidupan Allah yang lain di muka bumi ini.
Kedua terhadap peningkatan jati diri pada setiap peserta yang mengikuti aktiviti ini. Pendakian Gunung Angsi walaupun sekadar mencapai ketinggi 825m sahaja, tetapi bagi peserta yang kali pertama mencuba aktiviti berjalan di hutan ini, benar-benar bukan hanya menguji ketahanan fizikal, tetapi juga memberi pengalaman yang mempengaruhi diri secara keseluruhan. Mendaki memerlukan tekad, keazaman, dan semangat untuk mengatasi cabaran. Ia juga memberi peluang untuk mengenali kekuatan diri, mengenali nilai setia kawan, membangun semangat berpasukan, membina keyakinan kemampuan diri sendiri, dan mencapai prestasi yang membanggakan.
Ketiga Persepsi Penilaian terhadap Keagungan Ciptaan Allah Yang Maha Pencipta. Tiada yang menciptakan Gunung Angsi ini melainkan Allah SWT. Ciptaan yang sempurna dengan keindahan pemandangan sekeliling memukau penglihatan setiap kerlipan mata. Bunyi-bunyian dari ungas mergastua tidak sunyi kedengaran di sepanjang perjalanan. Air segar sejuk mengalir dari anak sungai seolah-olah air dingin dari peti ais. Membuktikan bahawa tanpa sebarang bantuan manusia pun Allah berkemampuan menjadikan air sejuk. Sekecil-kecil makhluk seperti semut, sebesar-besar Gunung juga mahkluk ciptaan Allah. Allah adalah Al-Khaliq (Maha Pencipta). Setiap kejadian ciptaan adalah makhluk. Allah langsung tidak berharap pada makhlukNYA bahkan kitalah makhluk berharap kebergantungan terhadap Allah Maha Kuasa. Alam ini tidak terjadi dengan sendirinya, bahkan Allah Yang Maha Pencipta 7 petala langit 7 petala bumi dan di antara keduanya.