LAWATAN AKADEMIK PELAJAR JABATAN PERDAGANGAN KE KOMPLEKS MAHKAMAH AYER KEROH, MELAKA
MELAKA, 13 OGOS. – Seramai 45 orang pelajar dan 2 orang pensyarah pengiring dari Jabatan Perdagangan, Politeknik Melaka telah mengadakan lawatan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Negeri Melaka. Delegasi terdiri daripada pelajar Program Diploma Perakaunan dan Diploma Perniagaan Antarabangsa yang diiringi oleh Puan Zalzalah binti Mohamed Harudin dan Cik Nur Izzatie Husna binti Zawawi.
Antara objektif lawatan ini diadakan adalah untuk menambah pengetahuan yang dipelajari secara teori bagi subjek Commercial Law berkaitan Sistem Perundangan di Malaysia yang dipelajari di dalam kelas dengan amalan praktikal. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan langsung kepada para pelajar tentang bagaimana proses mahkamah berfungsi, termasuk prosedur dan mekanisme dalam sistem kehakiman selain dapat melihat bagaimana undang-undang yang dipelajari di kelas diterapkan dalam kehidupan sebenar.
Dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk melihat dan mengalami proses undang-undang dan kehakiman secara langsung, lawatan akademik ke mahkamah ini menjadi titik tolak yang penting dalam pemahaman mereka berkaitan sistem perundangan dan keadilan.
Malah, program ‘Mahkamah ke Bilik Darjah’ yang diperkenalkan oleh pihak mahkamah ini juga dapat membantu meningkatkan kesedaran pelajar dan memperoleh pemahaman secara holistik dengan melihat bagaimana undang-undang diterapkan dalam situasi sebenar agar membolehkan pelajar memahami isu-isu moral, etika, dan sosial yang berkaitan dengan sistem kehakiman.
Semoga pendedahan dan pengalaman ini dapat membuka minda para pelajar dengan lebih luas dalam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Diharapkan agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui sesi lawatan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pelajar.
Jabatan Perdagangan, Politeknik Melaka mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pihak Mahkamah Negeri Melaka kerana sudi menerima kunjungan untuk sesi lawatan para pelajar.
Disediakan oleh: Nur Izzatie Husna binti Zawawi