PROGRAM CSR : MASIH ADA YANG SAYANG PAYA DALAM
Sumber : Melaka Hari Ini
AYER MOLEK 16 Februari – “Selepas 10 tahun kami tinggal dalam keadaan rumah yang tidak selesa, akhirnya cucu-cucu dapat merasai suasana yang lebih baik dari sebelum ini,” luah warga emas Abu Margono.
Kediaman dihuni Abu, 80, bersama isteri, anak, menantu dan sembilan cucu termasuk empat daripadanya orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini dalam keadaan daif, terpilih untuk dibaik pulih menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Masih Ada Yang Sayang, kolaborasi antara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Politeknik Melaka.
Menurut pesara tentera itu berkata, paling ketara apabila banyak bahagian bumbung rumahnya bocor dan setiap kali hujan, mereka anak beranak akan meletakkan baldi bagi mengelak keadaan di dalam rumah basah.
Pemilik rumah, Abu Margono, 80 ditemui sempena Majlis Penyerahan Rumah Asnaf Yang Dibaik Pulih dalam Program ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Kampung Surau Batu Paya Dalam.
Katanya, dia dan anak lelakinya ada berbincang untuk membaiki keadaan bumbung rumah tetapi disebabkan memerlukan kos yang agak tinggi membuatkan perancangan itu terbantut.
“Banyak bahagian bumbung yang bocor dan rosak, jadi apabila hujan kami akan meletakkan baldi selain bahagian ruang tamu akan basah. Walaupun cucu-cucu tidak pandai meluahkan rasa tidak selesa tetapi sebagai orang tua kita faham.
“Kalau tiadalah pihak yang tampil membantu ini, saya pun tidak tahu bila kami akan dapat membaiki rumah ini. Memang tidak sangka, akhirnya hajat kami terlaksana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Putih, Paya Dalam.
Ujarnya, dia mewakili pihak keluarga amat berterima kasih kepada MAIM dan Politeknik Melaka serta pihak yang terbabit kerana bersama-sama berganding bahu membaik pulih kediamannya.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Melaka Sr Razali Johari berkata, selain membantu golongan yang memerlukan, program CSR ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan terutamanya kepada yang terlibat.
“Pada program ini, perbelanjaan sebanyak 80 peratus dibiaya oleh MAIM manakala bakinya adalah sumbangan daripada kami warga Politeknik Melaka. CSR ini berlangsung selama tiga hari membabitkan seramai 15 pelajar setiap hari.
“Selain itu, secara tidak langsung kita dapat buktikan pelajar Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu membantu masyarakat. Pelajar-pelajar ini juga amat seronok dan berminat apabila dapat merasai suasana sebenar, misalnya di dalam bilik kuliah mungkin mereka tidak nampak kerana hanya belajar teori sahaja tetapi di sini, mereka ada interaksi bersama masyarakat,” katanya