MISI_BANTUAN BANJIR RENTAS 2 NEGERI @ NEGERI SEMBILAN & PAHANG
Editor: Hishamuddin Shah Bin Ibrahim
26hb Disember 2021 – Temerloh, Pahang.
“Kami betul-betul tak sangka boleh berlaku!”. Itu jawapan yang kami terima daripada salah seorang mangsa banjir di Temerloh tentang bencana yang menimpa mereka. Alhamdulillah dengan afiah dan inayah dari Allah SWT Politeknik Melaka bersama NGO Melaka , Abu Hubayb Official, Persatuan Melayu Champa, Masjid AL Wahab Permatang Duyong, Masjid Airport Batu Berendam , My Concern dan individu telah bergabung bagi misi kali ini.
Misi kami bermula di sebuah Perkampungan di Kuala Klawang, Jelebu. Kami dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama yang terlibat untuk kerja pembersihan dan kumpulan kedua bagi menyambaikan bantuan berbentuk keperluan hasil dari sumbangan orang ramai.
Misi kami diteruskan lagi ke Bentong Pahang. Tempat penginapan kami pada malam itu disediakan oleh pihak SMK Ketari. Antara lokasi bantuan dihantar adalah di Taman Harmoni dan Kg. Chegar Medang. Kedudukan geografi Kg Chegar Medang yang berhampiran Sungai Bentong telah memberi kesan yang besar banjir yang melanda. Hasil dari maklumat , seterusnya kami menuju ke SMK Bentong. Sekolah ini merupakan sekolah yang paling teruk terkesan. Menurut salah seorang guru , SMK Bentong menerima impak dari dua punca air yang besar iaitu kepala air dari Janda Baik dan Empangan Chamang. Pertemuan dua punca air ini menghasilkan pusaran yang dahsyat dan mengakibatkan sekolah ditenggelami air setinggi bumbung bangunan dua tingkat. Kesemua peralatan yang bukan besi telah mengalami kerosakan yang sepenuhnya. Satu pasukan pembersihan telah membantu membersihkan cafeteria, stor sukan dan bilik seni .
Misi kami diteruskan ke Kg Megat Segama dalam Daerah Temerloh dan Kg Batu Kapur dan Tmn Mutiara Semantan dalam Mukim Mentakab. Skripnya adalah sama , kami dapat menyaksikan kerosakan yang lebih besar di sini, memandangkan disini kepadatan penduduknya lebih tinggi berbanding di Bentong. Kesemua penghuni yang terkesan masih sedang membersihkan rumah masinig- masing.
Meskipun dalam keadaan letih yang amat sangat , wajah mereka tetap tersenyum menyambut kehadiran kami menghantar bantuan bagi kegunaan mereka. Ada antara mereka belum dikunjungi oleh mana-mana NGO bagi menghulurkan bantuan. Sekurang-kurangnya dengan selimut,bantal dan toto yang baru dan bersih sumbangan orang ramai dapat menceriakan hidup mereka pada hari itu.
Kami pulang ke Melaka dengan matlamat akan kembali semula untuk Siri kedua bantuan pasca banjir.