5 Oktober 2021 – Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Melaka Bil 2/2021 dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan telah diadakan di Bilik Persidangan Politeknik Melaka pada 5 Oktober 2021. Penyerahan Watikah Pelantikan JK Penasihat PMK yang baharu  telah diadakan sebelum mesyuarat bermula. Watikah pelantikan telah diserahkan kepada Yang Berbahagia Datuk Dr. Arshad bin Kassim selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat PMK yang baharu bagi Sesi 2021 sehingga 2023. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengarah PMK, Sr.Hj. Razali bin Johari dan dihadiri oleh 8 orang penasihat industri serta pengurusan-pengurusan tertinggi PMK. Ahli jawatankuasa yang hadir terdiri daripada pegawai-pegawai peringkat atasan di dalam sesebuah syarikat atau agensi yang berpengalaman untuk berkongsi idea dan buah fikiran bagi memperbaiki mutu pembelajaran pelajar, kebolehpasaran graduan politeknik, dan kebolehdapatan kerja graduan Politeknik Melaka selari dengan Revolusi Industri 4.0. Mesyuarat ini diadakan bagi meningkatkan capaian Politeknik kepada industri dan untuk merangka pelan strategik atau program-program bagi akademik dan aktiviti kolaborasi dengan industri serta membincangkan isu-isu berkaitan keperluan industri kepada pelajar-pelajar Politeknik. Mesyuarat pada kali ini menekankan kepentingan strategi dan usaha Politeknik Melaka dalam membantu pencapaian graduan politeknik menjadi usahawan dengan kerjasama dan idea dari pihak industri. Antara cadangan dari pihak industri adalah Politeknik Melaka boleh melaksanakan program anak angkat industri dan mewujudkan Shopee Mall Politeknik Melaka untuk pelajar memasarkan produk. Selain itu, Unit Keusahawanan, Politeknik Melaka juga boleh bekerjasama dan mendapatkan maklumat perniagaan dengan Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Akademi Keusahawanan, dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka.  Selepas mesyuarat, perbincangan diteruskan antara jabatan dan industri mengikut program-program jabatan. Ini bertujuan untuk menambahbaik kurikulum sedia ada dan membincangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dirancang bersama industri untuk tahun 2021 bagi menambahbaik mutu pembelajaran dan merapatkan jaringan kolaborasi antara Politeknik Melaka dengan industri.