PMK MENANG DI PERSADA ANTARABANGSA! JOHAN, NAIB JOHAN DAN ANUGERAH PILIHAN JURI BUSINESS PLAN COMPETITION
Oleh : Noor Shuhailie M.Mohamed Noor
2 September 2021- Pasukan Star Galaxy Travel Agency telah dinobatkan sebagai Johan dalam Business Plan Competition International Edu-Preneur Summer Course Programme 2021 kategori International anjuran Politeknik Negeri Bali, Indonesia. Pasukan Johan ini telah dianggotai oleh Kartigah A/P Paniappan, Yuvan Sankar A/L Murugeshvaran dan Raaj Kumar A/L Srimurgan dipacu oleh penyelia Puan Rosmaria Ismail dari Jabatan Perdagangan. Hadiah kemenangan berupa wang tunai IDR 6,000,000.00, trofi dan sijil kemenangan.
Program International Edu-Preneur ini berlangsung pada 31 Ogos hingga 2 September 2021 melibatkan 381 orang peserta tempatan dan 76 peserta antarabangsa dari 9 buah negara termasuk Jerman, Perancis, Taiwan, Rusia, Filipina, Vietnam, China, Indonesia dan Malaysia. Program ini dirasmikan oleh Wikan Sakarinto, S.T., M.Sc., Ph.D., Direktur Jenderal Pendidikan Vokasi Kemendikbudrister, Indonesia dengan tema Perspective Entrepreneurs for a Brighter Future bertujuan untuk membudayakan usahawan di kalangan para peserta.
Pasukan Dreamy Travel terdiri dari Vinorthini A/P S Sinnapaya Kawondar, Snekkaa A/P Remish dan Tenesh Varma A/L Letchumanan bersama paduan oleh penyelia mentor Puan Hairani Ahmad Zainuldin dan Puan Noor Shuhailie M.Mohamed Noor telah berjaya mengibar bendera Malaysia sekali lagi dengan merangkul Naib Johan dengan hadiah wang tunai IDR 4,500,000.00, trofi dan sijil kemenangan.
PMK diwakili pasukan Tote Art Bag Sdn Bhd mengharumkan nama skali lagi apabila dianugerahkan Pemenang Pasukan Pilihan Juri dengan membawa balik wang tunai IDR 3,000,000.00, trofi dan sijil kemenangan diwakili oleh Amni Elia Irsalina Razak, Nun Nurthaqifah Mohammad Yusof dan Nurul Farizahuda Azman serta paduan tenaga penyelia Puan Noor Shuhailie M.Mohamed Noor dan mentor Puan Hairani Ahmad Zainuldin
Sesi pembentangan Business Plan merupakan penilaian peringkat akhir turut membawa 2 lagi pasukan PMK yang terpilih sebagai 10 pasukan terbaik terdiri dari pasukan Tourer Holdings dan EZ Resources berentap bersama pasukan lain dari negara Rusia, China dan Malaysia.
Menurut Puan Noor Azira Sawal, penyelia pasukan EZ Resources, program ini berjaya memberikan pelajar pendedahan dan suntikan keyakinan dalam menghuraikan idea serta keunikan perniagaan mereka agar boleh diterima oleh pihak luar. Ia adalah sangat mencabar kerana perbezaan budaya, bahasa dan penyampaian melibatkan keseluruhan aspek lengkap di dalam sesebuah Business Plan.
Para peserta program juga turut diberikan pelbagai input melalui Sesi Syarahan Jemputan dari usahawan ternama Indonesia, antaranya Ni Luh Jelantik (Usahawan, Pereka dan Pengasan Nilou Shoes), Erika Sendana (Pengasas dan CEO Moritz Logistics Indonesia dan Ervan Munirulhakim, Pengurus Projek PT Alam Virtual Semesta turut menyuntik semangat keusahawanan di kalangan para peserta. Semoga program seperti ini akan dilaksana pada waktu akan datang dan dapat mendorong para pelajar menjayakan niat mereka sebagai usahawan kelak.