Editor: HISHAMUDDIN SHAH BIN IBRAHIM

16 Mei 2021, Melaka. Misi 30 Hari Ramadhan – PMK Prihatin adalah satu projek murni yang dilaksanakan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Misi ini digerakkan hasil usaha antara SIswa, Siswi dan Staf Politeknik Melaka. Pada perigkat pertama pada setiap malam selepas solat terawih mereka akan bergerak mencari golongan gelandangan untuk memberikan makanan dan minuman. Kawasan pencarian adalah sekitar Hang Tuah Mall, Jalan Hang Tuah, Jonker Street,Bandar Hilir, Melaka Raya dan Pengkalan Hulu.

Golongan gelandangan ini datang dari pelbagai tempat dan latarbelakang. Mereka datang dari sejauh Mergong,Alor Setar,Kuala Kangsar,Kuantan dan juga dari dalam Melaka sendiri. Wakaf dan kaki lima menjadi tempat mereka untuk lena bagi menghilangkan mengantuk di malam hari. Mengikut rekod catatan kami, terdapat 17 orang gelandangan, 7 orang peminta sedekah dan 3 orang dibawah kategori asnaf yang telah kami temui sepanjang misi ini berjalan.

Kami turut menyantuni 2 kelompok yang turut memerlukan perhatian. Kelompok yang pertama ialah penghuni dari Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz (RBLLTAA) di Durian Daun. Kami telah menyampaikan sumbangan berbentuk duit hari raya untuk 23 orang penghuni RBLLTAA. Manakala kelompok yang kedua ialah penghuni Villa Harapan , Ayer Molek. Dalam kunjungan kami, beberapa orang penghuni telah meluahkan hasrat hati untuk mendalami ilmu agama.

Fasa ke dua Misi 30H Ramadhan ini ialah merupakan ziarah keluarga asnaf di sekitar Bachang, Balai Panjang, Kampung Padang, Taman Merdeka Jaya dan Taman Dato Thamby Chik Karim. Hampir semua keluarga yang dikunjungi mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Ada diantaranya menghidap penyakit yang kronik dan juga ganjil. Amirul,23 sedang diuji dengan ketumbuhan tumor di otaknya. Lebih menyedihkan apabila menurut ayahnya, tumor tersebut tidak boleh dibuang disebabkan salur darah sudah menyelaputi tumor tersebut.

Ridhuan Tee Abdullah, 45 menghidap penyakit unik iaitu ‘raynaud phenomenon’. Penyakit ini berpunca dari kurang oksigen dan darah mengalir pada jari tangan dan kaki. Kesannya jari terpaksa dipotong sebagai langkah akhir. Dalam setiap kunjungan kesetiap 16 keluarga asnaf ini kami salurkan sumbangan berbentuk makanan dan juga duit raya.

Program ini tidak akan berjaya mencapai matlamatnya tanpa kekuatan dari Allah SWT dan hasil dari sumbangan Staf Politeknik Melaka. Pengarah Program, Aliff Hazreel,20 merasa amat bersyukur kerana Misi 30 Hari Ramadhan PMK Prihatin ini dapat disempurnakan dengan baik. Banyak pengajaran dan ilmu dapat ditimba melalui program seumpama ini untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar kerjaya kami. Harapan kami, selepas ini kami akan lebih sensitif kepada golongan ini dengan memberi mereka makan walaupun hanya sebungkus nasi dan air kotak.