PROGRAM “MY INSPIRATION, MY SPIRIT”
Sumber : Nurul Safwanah binti Muhammad Saleh
21 April 2021 (Rabu) – Satu program penasihatan akademik dan alumni iaitu “My Inspiration, My Spirit” telah dilaksanakan secara dalam talian melalui Google Meet untuk pelajar-pelajar Semester 3 bagi Program Diploma Akauntansi dan Diploma Perniagaan Antarabangsa Jabatan Perdagangan, Politeknik Melaka (Penasihat Akademik: Pn Norizah Binti Mahasan, Cik Nurul Safwanah Binti Muhammad Saleh dan Puan Hairani Ahmad Zainuldin). Melalui program ini, alumni Politeknik Melaka (PMK) dijemput untuk berkongsi dengan pelajar mengenai pengalaman mereka semasa belajar di PMK serta berkongsi pengetahuan, kemahiran dan amalan pembelajaran yang pernah dipraktikkan oleh mereka. Program ini dianjurkan oleh Commerce Department Society (CODES) dengan kerjasama Unit Psikologi & Kerjaya dan Jawatankuasa SPAk Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka. Panel jemputan program ini adalah En. Mohamad Adib Bin Mohamad Nor (Alumni PMK 2016) yang sedang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Politeknik Metro Kuala Lumpur. Antara objektif “My Inspiration, My Spirit” adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat mengenai persekitaran akademik, kerjaya yang diminati dan maklumat kehidupan kini selaras dengan pengisian Modul Inspirasi Diri (MInD) dalam Sistem Penasihatan Akademik (SPAk). Ia juga adalah sebagai satu bentuk motivasi dan galakan kepada pelajar agar lebih berkeyakinan, berfikiran positif, membina personaliti yang baik serta berusaha lebih gigih dalam usaha mencapai yang terbaik dalam urusan pembelajaran mereka selama berada di Politeknik Melaka. Program ini tidak hanya bertujuan berkongsi pengalaman malah ianya turut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan lebih dekat bersama panel jemputan sekaligus dapat bertukar-tukar pandangan.