PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN PENGUKURAN DAN PENDAWAIAN PELAJAR JKE
Sumber : Pn. Shahida Binti Nordin
Melaka, 3-4 April 2021 – Program Peningkatan Kemahiran merupakan program yang acapkali dilaksanakan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PMK. Program Peningkatan Kemahiran Pengukuran dan Pendawaian ini diadakan rentetan daripada keadaan semasa Pandemik Covid-19 di mana pelajar lebih banyak melaksanakan kuliah dan tugasan-tugasan secara dalam talian. Program ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat kemahiran dalam penggunaan peralatan elektrik dan elektronik dengan cara dan kaedah yang betul.
Bagi sesi Disember 2020 ini, JKE membuat pendekatan amali bersemuka secara penggiliran mengikut kelas. Atas kesempatan ini, para pensyarah JKE mengambil peluang pelajar yang hadir untuk meneruskan pelaksanaan program ini. Selain perkongsian ilmu dari para pensyarah JKE, pelajar turut mendapat pengalaman dan gambaran kerja sebenar daripada penceramah industri dari syarikat KRC Electronic dan W&H Electric di samping mengenali dan didedahkan dengan peralatan-peralatan yang digunapakai di industri secara langsung. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Tn. Hj. Zahidi Bin Zamzuri dan beberapa orang pensyarah JKE.
Program sebegini mendapat tempat di hati pelajar memandangkan mereka dapat menggunakan terus peralatan dan membuat amali-amali yang bersesuaian dengan menggunakan peralatan secara langsung dengan bimbingan dan latihan yang betul. Semoga usaha jabatan dalam pelaksanaan program seperti ini dapat meningkatkan kemahiran pelajar bagi meneruskan pengajian mereka sehingga tamat pengajian di Politeknik Melaka.