17 April 2021 (Sabtu) – Satu program penasihatan akademik dan alumni bertajuk “Mingle With The Stars” telah dilaksanakan untuk pelajar-pelajar Semester 1B (Penasihat Akademik : Pn Noor Azira binti Sawal) dan Semester 5 (Penasihat Akademik Pn Rosmaria binti Ismail dan En. Mohd Fauzi bin Abu Bakar), Diploma Akauntansi (DAT), Jabatan Perdagangan, Politeknik Melaka. Melalui program ini, alumni DAT PMK telah dijemput untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dengan para pelajar sepanjang mereka berada di PMK dan seterusnya ke alam kerjaya. Program ini dianjurkan oleh Commerce Department Society (CODES) dengan kerjasama Unit Psikologi & Kerjaya dan Jawatankuasa SPAk Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka. Panel jemputan program ini adalah En. Azeri bin Alewi (Alumni PMK 2014) yang sedang bertugas di Catereast Sdn Bhd dalam skop perakaunan serta En. Zuhaili bin Abdul Karim (Alumni PMK 2015) yang bertugas di RS Associates dalam skop pengauditan.  Antara objektif “Mingle With The Stars” adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat mengenai persekitaran akademik, kerjaya yang diminati dan maklumat kehidupan kini selaras dengan pengisian Modul Inspirasi Diri (MInD) dalam Sistem Penasihatan Akademik (SPAk). Ia juga adalah sebagai satu bentuk motivasi dan galakan kepada pelajar agar lebih berkeyakinan, berfikiran positif, membina personaliti yang baik serta berusaha lebih gigih dalam usaha mencapai yang terbaik dalam urusan pembelajaran mereka selama berada di Politeknik Melaka.  Pelaksanaan program ini adalah menggunakan platform Ms Teams.

 

  

 

Program ini memberi peluang kepada alumni untuk mengimbau kenangan mereka bak kata pepatah “bagai sirih pulang ke gagang, bagai pinang pulang ke tampuk”. Dengan adanya perkongsian ilmu dan pengalaman ini, alumni juga boleh memberi semangat dan galakan yang padu kepada pelajar-pelajar Semester 1 yang baru memulakan kehidupan di PMK dan Semester 5 yang akan menjalani Latihan Industri pada semester hadapan.  Terdapat juga tips yang telah dikongsi oleh alumni tentang kehidupan di universiti semasa mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan persediaan yang perlu dihadapi menghadapi apabila melangkah ke industri.

Semoga perkongsian pengalaman dan maklumat daripada alumni ini dapat dijadikan sebagai satu inspirasi kepada pelajar-pelajar yang masih berada di alam pembelajaran dan menyuntik semangat mereka untuk mengharungi hari-hari mendatang sesuai dengan tajuk program iaitu “Mingle With The Stars”