6 April 2021 – Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Melaka Bil 1/2021 dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan telah diadakan di Bilik Persidangan Politeknik Melaka pada 6 April 2021. Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ab. Rauf bin Yusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Politeknik Melaka bagi Sesi 2021 sehingga 2023 telah diadakan sebelum mesyuarat bermula. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ab.Rauf bin Yusoh selaku Pengerusi yang baharu dan dihadiri oleh 9 orang penasihat industri serta pengurusan-pengurusan tertinggi PMK. Ahli jawatankuasa yang hadir terdiri daripada pegawai-pegawai peringkat atasan di dalam sesebuah syarikat atau agensi yang berpengalaman untuk berkongsi idea dan buah fikiran bagi memperbaiki mutu pembelajaran, kebolehpasaran graduan politeknik, dan kebolehdapatan kerja graduan Politeknik Melaka selari dengan Revolusi Industri 4.0. Mesyuarat ini diadakan bagi meningkatkan capaian Politeknik kepada industri dan untuk merangka pelan strategik atau program-program bagi akademik dan aktiviti kolaborasi dengan industri serta membincangkan isu-isu berkaitan keperluan industri kepada pelajar-pelajar Politeknik. Selepas mesyuarat, perbincangan diteruskan antara jabatan dan industri mengikut program-program jabatan. Ini bertujuan untuk menambahbaik kurikulum sedia ada dan membincangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dirancang bersama industri untuk tahun 2021 bagi menambahbaik mutu pembelajaran dan merapatkan jaringan kolaborasi antara Politeknik Melaka dan industri.