Oleh: FARIZOH BINTI HAMID

27 Mac 2021, Sabtu – Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka telah berjaya melaksanakan satu program Alumni Sharing@ Commerce Department 2021 yang bertemakan “Be Inspired, and Be Great”. Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar semester 5 mengenai bidang pengkhususan relevan yang boleh dipilih sekiranya mereka berhasrat menyambung pengajian  ke peringkat yang lebih tinggi atau peluang kerjaya yang boleh diceburi mereka setelah tamat pengajian nanti.

Selain itu, pelajar didedahkan juga bekaitan keperluan semasa oleh pihak industri terhadap graduan Diploma Akauntasi dan Diploma Perniagaan Antarabangsa, Politeknik Malaysia. Di sini pelajar terutamanya semester 1 dan 2 boleh melengkapkan serta meningkatkan kemahiran diri dan potensi diri yang sedia ada sebagai persediaan untuk menempuh alam pembelajaran di universiti atau ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui program  perkongsian pengalaman sebegini para pelajar  secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran serta berkemampuan berbicara dan mengutarakan pendapat melalui  ‘effective communication’ serta mengeksplorasi dan mengekspoitasi pengetahuannya sebagai bukti adanya peningkatan  kompetensi di dalam diri masing-masing.

Program yang dihadiri oleh 63 orang pelajar melibatkan pelajar Diploma Perniagaan Antarabangsa Semester 2 dan Semester 5 serta pelajar Diploma Akauntansi Semester 1, turut melibatkan 3 orang Penasihat Akademik iaitu Puan Roslezaytie Ajeh, Puan Farizoh Hamid dan Puan Sharifah Polai. Manakala alumni jemputan adalah Saudara Muhd Alif bin Hamdan yang merupakan graduan Diploma Akauntansi Politeknik Melaka yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakauan UiTM Puncak Alam. Beliau juga merupakan salah seorang pelajar yang mendapat tawaran Biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia dan sedang menunggu tawaran untuk bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sesi perkongsian pengalaman  dimulakan dengan slot “Journey as a Polytechnic Student”, diteruskan dengan “The Important of Effective Communication” dan diakhiri dengan sesi soal jawab, berjaya membuka pemikiran para pelajar dalam menentukan hala tuju selepas tamat pengajian nanti. Diharapkan program yang sangat bermanfaat sebegini akan dapat diteruskan dengan menjemput lebih ramai alumni PMK yang telah berjaya di luar sana.