UJIAN TANDA ALLAH SAYANG
Editor: HISHAMUDDIN SHAH BIN IBRAHIM
25 Mac 2021- Durian Daun, Melaka. Satu program khas yang telah dirangka khusus buat 40 orang penghuni Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun yang diselia dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Program “Masih Ada Yang Sayang” ini telah dirancang oleh En Abd Raoh bin Muhammad bersama sukarelawan dari pengikut Abu Hubayb Official yang merupakan salah seorang Penceramah Bebas di Melaka iaitu Ustaz Mohamad Najib bin Khasim. Program ini terbahagi kepada 2 Sesi, di mana sesi pertama merupakan Sesi Pembangunan Jatidiri yang dijalankan pada 20hb Mac 2021 bertempat di Surau Al Wahdah , Taman Muzaffar Heights. Seawal pagi mereka telah mula berkampung di perkarangan Surau Al – Wahdah untuk pelbagai pengisian aktiviti dalam kumpulan. Program dimulakan dengan Kuliah Dhuha yang disampaikan sendiri oleh Ustaz Najib , disusuli oleh Latihan Dalam Kumpulan.
Seterusnya program diteruskan dengan program ‘hiking’ di Bukit Beruang. Satu aktiviti ikhtiar hidup telah dirancang untuk anak-anak ini bagi menerapkan serba sedikit ilmu ikhtiar hidup semasa berada di dalam hutan. Mereka telah diminta untuk memasak sendiri makanan tengahari menggunakan sumber yang terhad. Memandangkan ini pengalaman pertama mereka, pelbagai aksi dan kerenah dapat dilihat semasa program ini berjalan. Usai makan tengahari kami memulakan perjalanan untuk pulang. Sebelum meneruskan perjalanan , kami bersama-sama telah solat zohor berjemaah. Ustaz Najib berkesempatan untuk menyampaikan ilmu bagaimana mengambil wudhuk dengan air yang sangat terhad. Mereka juga diajar serba sedikit fiqh solat dalam keadaan berkasut.
Kami teruskan perjalanan turun dan ketibaan kami di bawah disambut dengan hujan yang lebat. Program petang diisi pula dengan aktiviti memanah yang dikendalikan oleh Al-Wahdah Archery Club dan diketuai oleh En Jumari Kosrin. Setiap peserta diberi peluang untuk memanah dan satu pertandingan diadakan sebagai acara kemuncak. Program diakhiri dengan Sesi Penyampaian Hadiah dan Cenderahati.
Sesi kedua iaitu Sesi kerohanian dan Hala Tuju Hidup telah dilaksanakan pada Khamis, 25hb Mac 2021 bertempat di Surau Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun. Usai solat maghrib , wakil dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Melaka, En Hishamuddin telah menyampaikan tazkirah tentang pentingnya mencari ilmu di dunia dan juga ilmu akhirat. Beliau turut menyampaikan maklumat berkenaan peluang melanjutkan pengajian di Politeknik dan Kolej Komuniti. Jelas terpancar diwajah anak-anak ini betapa mereka dahagakan kehadiran kumpulan seperti kami bagi berkongsikan ilmu dan pengalaman hidup. Sesungguhnya ilmu itu sangat penting baik untuk hidup didunia , lebih-lebih lagi untuk hidup di akhirat.