Oleh : NOOR SHUHAILIE M.MOHAMED NOOR

5 Mac 2021- Penganjuran program International Virtual Internship: Review and Sharing Experience berjaya mengumpulkan para peserta Jabatan Perdagangan (JP) Politeknik Melaka (PMK) dan Politeknik Negeri Sriwijaya dari bidang perakaunan dan perniagaan antarabangsa. Program ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang penuh inspirasi oleh Puan Zaihan binti Haron, Ketua Jabatan Perdagangan PMK.

Dari inspirasi kepada aspirasi, itulah antara bait perkongsian para pelajar tentang nilai pengalaman dan kepercayaan melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh pihak industri kepada mereka di dalam sesi Outbound dan Inbound Malaysia-Indonesia dilaksana pada 22 Febuari hingga 5 Mac 2021.

“Saya amat gembira kerana diberi kepercayaan sepenuhnya dalam merancang dan menghasilkan portal bagi syarikat ini, malahan idea saya turut diterima sebaiknya serta turut mendapat pujian dari majikan”, ujar Normala dan Selva, peserta bidang Perniagaan Antarabangsa PMK yang telah terpilih menjalani Program Virtual Internship di Syarikat PT Pengadaian Persero Sekip cabang Palembang Indonesia.

Manakala menurut  Haviza Febriani dan Septifani Trida Aprilia, peserta program dari bidang perakaunan Politeknik Negeri Sriwijaya, mengharapkan agar program ini perlu dipanjangkan tempohnya kelak memandangkan ia membekalkan pengalaman baharu yang menarik sebagaimana perlaksanaan sepenuhnya atas talian. Ternyata kaedah norma baharu ini tetap memberikan impak berkesan sepertimana kaedah bersemuka tanpa mengurangkan sebarang kualiti tugasan akaun yang diberikan pihak Sahabat Excellent Sdn Bhd sekaligus menyahut cabaran IR 4.0 dalam pengamalan aplikasi teknologi.

Antara slot yang turut memberi nilai tambah program ini adalah sesi perkongsian dari Ketua Program Diploma Akauntansi dan Diploma Perniagaan Antarabangsa, Ketua Inkubator Accounting Firm dan Jawatankuasa Unit Pengantarabangsaan JP berkaitan promosi program akan datang yang boleh disertai sekaligus membuat sesi refleksi program.

Sesi fotografi diakhiri  dengan lambaian mesra semua peserta menutup tirai sesuai dengan tema program “Keep in Touch” sebagaimana ini merupakan program pelopor dan simbol kerjasama erat yang bakal ditaut rapat kelak pada waktu akan datang.