BENGKEL PEMBANGUNAN BAHAN PDP DIGITAL GALAKKAN KREATIVITI PENSYARAH
Oleh: Muhamad Faiz Jofri
PMK, 19 Mei 2025 – Seramai 23 orang peserta telah menghadiri Bengkel Pembangunan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan Menggunakan Aplikasi Digital yang diadakan pada hari Isnin, 19 Mei 2025 bertempat di Makmal e-Learning, Politeknik Melaka (PMK). Bengkel ini telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan bertujuan untuk memperkasa tenaga pengajar dalam menghasilkan bahan PdP digital yang lebih interaktif dan berkesan. Penceramah Ts. Dr. Mahfuzah Binti Mohamad dan Fasilitator En. Mohd Azran telah memberikan penerangan dan laihan mendalam mengenai penggunaan aplikasi digital dalam PdP, termasuk perisian reka bentuk bahan pengajaran, alat kolaborasi dalam talian, serta teknik penyampaian konten secara interaktif terutamanya AI dalam PdP. Bengkel ini turut menyediakan ruang kepada para peserta untuk menjalankan aktiviti praktikal dan latihan hands-on bagi mengaplikasikan ilmu yang diperoleh ke dalam pengajaran harian mereka. Dengan penganjuran bengkel seperti ini, pihak penganjur berharap agar warga pendidik dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa dan meningkatkan mutu pengajaran dalam era digital masa kini.