BENGKEL PEMBANGUNAN BAHAN DIGITAL MENGGUNAKAN CANVA
13 Mei 2025 – Jawatankuasa ePembelajaran Politeknik Melaka (PMK) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembangunan Bahan Digital Menggunakan Aplikasi Canva bertempat di Makmal eLearning, Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL).
Bengkel ini berlangsung pada hari Selasa, 13 Mei 2025, dan menyasarkan seramai 27 orang pensyarah PMK. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memperkasa kemahiran pensyarah dalam menghasilkan bahan pengajaran digital yang lebih menarik dan interaktif menggunakan Aplikasi Canva. Ini selaras dengan usaha berterusan PMK dalam meningkatkan kualiti penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) di era digital.
Para peserta bengkel telah diberikan pendedahan dan latihan secara praktikal mengenai pelbagai fungsi dan ciri Canva, termasuklah reka bentuk visual, infografik, persembahan, dan bahan multimedia lain yang relevan untuk kegunaan akademik.
Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai langkah proaktif Jawatankuasa ePembelajaran PMK dalam memastikan para pensyarah sentiasa relevan dan berdaya saing dalam memanfaatkan teknologi terkini demi manfaat pelajar. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh daripada bengkel ini dapat diaplikasikan secara meluas dalam proses PdP seharian.