USAHAWAN MUDA DIPERKASA MELALUI PROGRAM IEEP SECARA DALAM TALIAN
Oleh: Muhamad Faiz Jofri
15 April 2025 (Selasa), Politeknik Melaka - Satu program Integrated Entrepreneurship Enhancement Program (IEEP) telah berjaya dilaksanakan secara atas talian melalui platform Google Meet. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini melibatkan semua pelajar kursus MPU22012 – Entrepreneurship. Program ini dianjurkan bertujuan untuk memperkasa pelajar dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai keusahawanan sejajar dengan keperluan semasa dunia perniagaan, terutamanya dalam era digital. Para pelajar diberikan pendedahan melalui ceramah interaktif, sesi soal jawab, serta pembentangan aktiviti berkumpulan yang mengetengahkan idea-idea perniagaan inovatif. Penceramah jemputan salah seorang alumni Politeknik Melaka yang berjaya sebagai seorang usahawan, CEO Sayang Express Catering Group, Pn Sayang Norashikin Binti Ali yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan berkongsi perjalanan dan strategi kejayaan, memberikan inspirasi kepada para pelajar untuk berani mengambil inisiatif membina perniagaan sendiri. Kehadiran pelajar adalah amat memberangsangkan dan penglibatan mereka sepanjang sesi menunjukkan minat yang tinggi terhadap bidang keusahawanan. Selain menyokong objektif kursus MPU22012, program ini turut memupuk semangat kolaboratif dan komunikasi efektif dalam kalangan pelajar walaupun dijalankan secara dalam talian. Pelaksanaan IEEP secara dalam talian bukan sahaja berjaya dari segi teknikal, malah membuka ruang kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran dan penyampaian maklumat secara digital yang kini menjadi norma baharu dalam dunia pendidikan dan perniagaan. Secara keseluruhan, program ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penambahbaikan dari segi penglibatan lebih ramai usahawan industri dan aktiviti hands-on yang lebih mendalam.