MUHAMAD FAIZ BIN JOFRI

16 OKTOBER 2024, Alor Gajah – Jawatan kuasa Muafakat Politeknik Melaka dengan kerjasama Sukarelawan Daerah Alor Gajah dan Sukarelawan JKA Centre Of Building Technology PMK telah menjalankan Program Khidmat Kepakaran TVET untuk rumah asnaf di Alor Gajah, Melaka. Program Khidmat Kepakaran TVET ini dilaksanakan dengan tujuan untuk membantu satu keluarga asnaf yang tinggal di Taman Seri Bayu 1 di mana mengalami masalah bumbung rumah yang bocor. Rumah ini didiami oleh satu keluarga OKU yang terdiri daripada seorang ibu yang lumpuh serta seorang anak perempuan yang bisu.  Inisiatif ini bukan sahaja memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga membolehkan para sukarelawan mempraktikkan kemahiran teknikal dan pengetahuan yang diperoleh dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 2.00 petang kerja-kerja membaiki bumbung yang bocor dan memasang rabung yang baru telah dilaksanakan dengan jayanya. Semoga program ini dapat dijalankan pada masa akan datang untuk membantu golongan asnaf disamping dapat menyumbang kepakaran TVET kepada komuniti.