Ditulis oleh: Siti Salbiah Binti Ahmad Shariff

SABTU, 12 Oktober 2024 : Telah berlangsung program kutipan amal Autism Walkathon 2024 bagi The National Autism Society of Malaysia (NASOM) Melaka di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka bermula dari jam 7.30 - 11.45 pagi. Autism Walkhaton 2024 ini melibatkan 2 penganjur utama iaitu di antara NASOM Melaka dan Majlis Gabungan Pertubuhan Wanita Melaka (NCWO Melaka) serta melibatkan kerjasama utama dari Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB) dan Politeknik Melaka yang telah menyumbang dalam pelbagai aspek bagi menjayakan program ini termasuklah dengan kehadiran seramai 90 orang sukarelawan pelajar dan staf Politeknik Melaka dan Politeknik Merlimau. Program ini bermula pada awal pagi dengan acara berjalan santai yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, ADUN Duyung merangkap Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Negeri Melaka sebagai pelepas acara. Kemudian berlangsung pula acara Majlis Perasmian dan Penghargaan Autism Walkathon 2024 yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Hajah Kalsom binti Nordin, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Negeri Melaka.

Kemunculan 32 Sandwish-Man yang beraksi sepanjang program telah menjadi daya penarik utama untuk peserta dan orang awam menyertai program tersebut. Sandwich-Man ini bertindak sebagai informasi bergerak dalam menyebarkan kesedaran mengenai Autism Spectrum Disorder atau lebih mudah dikenali sebagai Autisme. Ianya mendapat pujian daripada semua pihak yang hadir sepanjang program berlangsung.

Bertemakan ‘Sihat dan Ceria Bersama Anak-Anak Autisme’ program Autism Walkhaton 2024 ini telah berjaya mengutip dana sebanyak RM100,000 lebih yang merupakan hasil sumbangan dari pelbagai syarikat dan orang awam. Tujuan utama program diadakan adalah untuk mengumpulkan pembiayaan bagi membantu kelangsungan pembelajaran dan aktiviti di NASOM Melaka. Pada masa yang sama ianya digunakan sebagai platfom utama bagi menjayakan kempen kesedaran autisme di kalangan masyarakat awam. Program seumpama ini wajar diteruskan di masa akan datang demi mendidik dan mendedahkan kewujudan anak-anak istimewa autisme dalam kehidupan kita.