Written by Nor Suriati Binti Jamaludin

Melaka, 26 September 2024 – Jawatankuasa EKSA Politeknik Melaka dan Jawatankuasa Smart Green Politeknik Melaka telah menganjurkan Program Gotong-royong Perdana dan Clean Up Day PMK 2024 bertempat di sekitar kawasan dan ruang meletak kenderaan Politeknik Melaka.

Program Gotong Royong Perdana EKSA merupakan satu aktiviti yang disenaraikan di dalam takwim aktiviti EKSA bagi tahun 2024. Ia dilaksanakan bertujuan membudayakan aktiviti membersihkan ruang kerja, bilik kuliah, makmal dan bengkel serta sekitar kawasan PMK mengikut zon yang telah ditetapkan. Aktiviti gotong royong ini disokong dengan program Cleanup Day yang dilaksanakan pada 26 september 2024 iaitu merupakan hari terakhir gotong royong dilaksanakan. Program Cleanup Day adalah program mengumpul dan mengasingkan sisa mengikut kategori dan dilupuskan memenuhi keperluan SW Corp Malaysia.

Antara objektif program ini diadakan adalah bertujuan untuk membudayakan aktiviti EKSA dikalangan pensyarah, pekerja dan pelajar Politeknik melaka, menyokong aktiviti bagi memenuhi keperluan EKSA iaitu berimej korporat, penghasilan inovasi, amalan hijau dan memastikan suasana ruang yang kondusif di PMK serta menjalinkan aktiviti kolaborasi dengan pihak luar iaitu SW Corp Malaysia dan menyokong aktiviti dalam menangani masalah sisa pepejal di PMK.

Program ini dimulai dengan sesi taklimat  kepada pelajar dan staf diikuti dengan aktiviti pertama iaitu pengasingan sisa mengikut kategorinya seperti kaca, plastik firm, plastik rigid, tin minuman, e-waste, besi, getah, kertas dan sebagainya. Kemudian program ini diteruskan pula dengan aktiviti kedua iaitu audit sisa pepejal dan  aktiviti terakhir ialah pelupusan sisa pepejal. Bilangan sukarelawan  staf dan pelajar yang mendaftar dalam program ini adalah seramai 218 orang. Manakala hasil audit sisa pula adalah sebanyak 987 kilogram.

 

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mengatasi masalah sisa pepejal di samping dapat memupuk hubungan yang erat antara warga Politeknik Melaka dan seterusnya mampu membudayakan EKSA di Politeknik Melaka serta dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan kondusif.  Rata-rata pelajar dan staf Politeknik Melaka memberikan kerjasama yang baik sepanjang program ini berlangsung dan berharap agar program ini dilaksanakan lagi pada masa yang akan datang.