Lawatan Penandaarasan Inovasi dan Komersialan ke FRIM oleh Politeknik Melaka
Lawatan Penandaarasan Inovasi dan Komersialan ke FRIM oleh Politeknik Melaka
Politeknik Melaka, 11 Jun 2025 – Seramai 12 orang peserta dari Politeknik Melaka yang diketuai oleh Dr. Azilahwati Binti Adam telah mengadakan lawatan penandaarasan inovasi dan komersialan ke Galeri Penyelidikan FRIM (Forest Research Institute Malaysia) pada hari Rabu, 11 Jun 2025. Lawatan ini bertujuan untuk menimba ilmu serta memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang inovasi dan komersialan.
Menurut Dr. Azilahwati, lawatan ini memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari pelbagai inovasi terkini dalam penyelidikan hutan dan aplikasi komersialnya. "Kami sangat berterima kasih kepada FRIM atas penerimaan dan perkongsian ilmu yang amat bernilai. Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal malah mencetuskan idea baharu untuk diaplikasikan di Politeknik Melaka," ujarnya.
Peserta lawatan terdiri daripada wakil pelbagai jabatan termasuk pegawai-pegawai dari UPIK, wakil dari JKE, JKM, dan JPA. Mereka berpeluang menyaksikan demonstrasi teknologi penyelidikan serta berbincang dengan pakar FRIM mengenai potensi komersialisasi produk.
"Lawatan ini sangat seronok dan memberi impak yang besar. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang," kata salah seorang peserta. Dengan selesainya lawatan ini, Politeknik Melaka berhasrat untuk menerapkan pengetahuan yang diperoleh dalam projek inovasi dan komersialan institusi tersebut.
Sumber: Unit Penyelidikan Inovasi & Komersialan, Politeknik Melaka