como crear una pagina web

Oleh : Mohd Khairuddin bin Ahmad Khair

 

Melaka, 2 Januari 2025 – Sebuah bengkel pengurusan aktiviti pelajar telah berjaya dilaksanakan di Politeknik Melaka dengan penyertaan daripada penyelaras hal ehwal pelajar jabatan, pegawai disiplin jabatan, penasihat kelab, unit usahawan dan jabatan sukan kokurikulum. Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pengurusan, perancangan, dan pelaksanaan aktiviti dalam kalangan pelajar, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing serta memberi kefahaman kepada pegawai Politeknik Melaka berkenaan Akta 174 yang digunakan di institusi.

Bengkel ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar disokong oleh fasilitator berpengalaman yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang pengurusan aktiviti pelajar.. Program yang berlangsung selama sehari ini mengetengahkan beberapa sesi interaktif, termasuk ceramah motivasi bertajuk komunikasi berkesan yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi Puan Amira binti Abdul Wahid, simulasi perancangan dan laporan aktiviti pelajar oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar En. Mohd Khairuddin bin Ahmad Khair, dan penerangan Akta 174 oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Puan Nor Azah binti Mat Sout.

Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar Politeknik Melaka, Puan Nor Azah binti Mat Sout, program ini merupakan platform yang sangat baik untuk memastikan pelajar dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan. Bengkel ini membantu pegawai terlibat memahami proses pengurusan aktiviti yang lebih teratur dan sistematik. Kemahiran ini amat penting sebagai bekalan apabila pelajar melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Dengan penganjuran program seperti ini, Politeknik Melaka berharap dapat terus memupuk nilai kepimpinan, inisiatif, dan inovasi dalam kalangan pelajar, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan melalui penerapan kecekapan pengurusan aktiviti pelajar kepada pegawai penasihat di jabatan akademik.

BERITA PMK

CAPAIAN POPULAR

Ke Atas