Sumber: Hishamuddin Shah Ibrahim 

Gua Musang, Kelantan- 6 orang warga Politeknik Melaka dengan kekuatan 3 orang pelajar dari MESAC dan 3 pensyarah telah melalui satu perjalanan yang paling getir untuk sampai ke puncak Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat. Mereka dibantu oleh Trip Organizer, Peak Hunter Adventure.

Setelah membuat sesi latihan persediaan selama 2 bulan, perjalanan bermula pada 27 Ogos dengan menaiki keretapi dari Gemas ke Gua Musang.

Cabaran yang pelbagai menanti kami disepanjang perjalanan. Bermula dengan perjalanan dengan 4WD melalui jalan balak selama 4 jam yang mendebarkan. Kami mulai menapak menempuh laluan yang teramat panjang. Ada masanya kami terpaksa berjalan selama lebih 23 jam untuk sampai ke sesuatu checkpoint. Lebih menguji lagi, setiap orang dari kami perlu memikul beban beg hampir 20kg dengan laluan yang amat curam dan panjang. Nafas yang pada mulanya perlahan, semakin menjadi kasar, seiring dengan degupan jantung yang semakin laju.

   

 

  

Dikala cahaya semakin hilang menerangi tanah hutan belantara, begitu juga tenaga kami turut semakin menyusut. Rasa penat dan lapar mula menyelubungi kami.

Ini bukanlah perjalanan yang biasa dilalui oleh ekspedisi sebelum ini. Kalau sebelum ini selepas seharian latihan , kami akan berehat untuk keesokan harinya. Tidak dalam ekspedisi ini. Setiap pagi yang baru bermakna kami perlu tempuhi 1 lagi perjalanan yang panjang dan sangat mencabar.

Cuaca yang sejuk pada satu masa terutamanya saat hujan turun lebih menggetirkan kami untuk terus melangkah.

Dikalangan penggiat rekreasi mendaki gunung, 2 gunung dalam senarai G7 ( 7 gunung tertinggi di semenanjung yang ketinggiannya melebihi 7000 kaki ) iaitu Gunung Chamah dan Ulu Sepat memang dikenali dengan laluan yang paling mencabar dan ekstrem.

Halangan yang menanti disini tidak seazab di 5 gunung lain dalam senarai G7 (Gunung Tahan, gunung Korbu, Gunung Gayung, Gunung Yong Belar dan Gunung Yong Yap).

Laluan berlumpur dan selut menjadi 'hidangan' para pendaki di hampir keseluruhan perjalanan. Kebersihan pada kasut dan pakaian, tidak lagi dapat kami pedulikan lagi.

Setelah melalui jumlah perjalanan melebihi 70 km selama 5 hari dan 4 malam, dibawah hujan renyai dan kesejukan, laungan merdeka sebanyak 3 kali bergema di puncak Gunung Ulu Sepat pada detik 2.28 petang 31hb Ogos 2022.

Tiada kata-kata dapat digambarkan kecuali sujud syukur sebagai tanda betapa bersyukurnya kami, kerana diberikan kekuatan dan kesabaran oleh Rabbul Alamin bagi melalui ekspedisi yang jatuh dibawah kategori paling tegar dalam senarai G7.

Inilah terjemahan erti kemerdekaan bagi kami dengan berkorban meninggalkan keselesaan dan kemudahan yang kami ada bagi menghayati jerih perih datuk nenek kita dahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat Negaraku Malaysia.

MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA!

Hishamuddin Shah Ibrahim
Mohamad Hafiz Saleh
Abdul Razak Shaari
Mohd Hafiz Rizam
Nik Alif
Ahmad Faiz

Nota: Tulisan dalam artikel ini adalah pandangan dan luahan dari penulis dan mungkin berbeza dengan pendapat orang lain.