SHARING IS SIGN OF LOVE by ALUMNI COMMERCE DEPARTMENT
Oleh: FARIZOH BINTI HAMID
22 Mei 2022, Ahad – Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka telah berjaya melaksanakan satu program Sharing is Sign of love by Alumni Commerce Department 2-2021/2022 yang bertemakan “To Be Inspired is Great, to Inspire is an Honor”. Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar semester 4, semester 3 dan Semester 1 mengenai bidang pengkhususan relevan yang boleh dipilih sekiranya mereka berhasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau peluang kerjaya yang boleh diceburi mereka setelah tamat pengajian nanti.
Selain itu, pelajar didedahkan juga berkaitan keperluan semasa oleh pihak industri terhadap graduan Diploma Akauntasi dan Diploma Perniagaan Antarabangsa, Politeknik Malaysia. Di sini pelajar terutamanya semester 1 dan 3 boleh melengkapkan serta meningkatkan kemahiran diri dan potensi diri yang sedia ada sebagai persediaan untuk menempuh alam pembelajaran di universiti atau ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui program perkongsian pengalaman sebegini para pelajar secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran serta berkemampuan berbicara dan mengutarakan pendapat melalui ‘effective communication’ serta mengeksplorasi pengetahuannya sebagai bukti adanya peningkatan kompetensi di dalam diri masing-masing.
Program yang dihadiri oleh 58 orang pelajar melibatkan pelajar Diploma Perniagaan Antarabangsa Semester 4 serta pelajar Diploma Akauntansi Semester 1 dan Semester 3, turut melibatkan 3 orang Penasihat Akademik iaitu Puan Roslezaytie Ajeh, Puan Farizoh Hamid dan Puan Sharifah Polai. Manakala alumni jemputan adalah Saudara Muhd Alif bin Hamdan yang merupakan graduan Diploma Akauntansi Politeknik Melaka yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakauan UiTM Puncak Alam dan kini telah bekerja sebagai Penolong Akauntan. Beliau juga merupakan salah seorang pelajar yang mendapat tawaran Biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sesi perkongsian pengalaman dimulakan dengan slot “Journey as a Polytechnic Student”, diteruskan dengan “Prepare Yourself before Practical Training”, “ Halatuju selepas tamat Diploma” dan diakhiri dengan sesi soal jawab. Program ini berjaya membuka pemikiran para pelajar dalam menentukan hala tuju selepas tamat pengajian nanti. Diharapkan program yang sangat bermanfaat sebegini akan dapat diteruskan dengan menjemput lebih ramai alumni PMK yang telah berjaya di luar sana.