KEJOHANAN FUTSAL ENGINEERING CHAMPIONSHIP 2025 MERIAH DI BATU BERENDAM
Oleh : Muhamad Faiz bin Jofri
Batu Berendam, 4 Oktober 2025 – Suasana di Pusat Gelanggang Futsal Batu Berendam hari ini cukup meriah apabila berlangsungnya Engineering Championship Futsal 2025, anjuran Kelab Pelajar Kejuruteraan Mekanikal (MESAC), Awam (CESAC) dan Elektrik (EESTEC). Program ini berjaya menghimpunkan seramai 78 peserta mewakili 13 pasukan dari pelbagai jurusan kejuruteraan dalam satu pertandingan penuh semangat kesukanan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh En. Muhamad Faiz bin Jofri, selaku Penasihat MESAC, tepat jam 9.00 pagi. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan sukan sebagai medium pembentukan sahsiah, kerjasama berpasukan dan disiplin dalam kalangan pelajar jurusan kejuruteraan yang sering terikat dengan aktiviti akademik. Pertandingan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang, dengan setiap perlawanan menyaksikan aksi sengit dan penuh semangat juang. Pasukan-pasukan yang bertanding terdiri daripada pelajar Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Awam. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam arena futsal, malah turut berfungsi sebagai medium interaksi sosial dan jalinan kerjasama antara pelajar pelbagai latar belakang. Pihak penganjur turut menyediakan hadiah menarik kepada juara, naib juara serta tempat ketiga kejohanan. Menurut Pengarah Program, aktiviti seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan pelajar tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam kokurikulum. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, pihak pengurusan gelanggang dan sukarelawan yang menjayakan kejohanan ini. Engineering Championship Futsal 2025 berakhir dengan jayanya dan meninggalkan kenangan manis buat semua yang terlibat.