LAWATAN AKADEMIK (IEEP) KE FARHAN ADAM FOOD INDUSTRIES, SERKAM, MERLIMAU
Oleh : Muhamad Faiz Bin Jofri
Halal Hub Serkam, Melaka 23/9/25 - Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dengan kerjasama Unit Keusahawanan Politeknik Melaka telah menganjurkan satu Lawatan Industri di bawah program IEEP ke Farhan Adam Food Industries yang terletak di Halal Hub Serkam Melaka. Lawatan ini melibatkan seramai lapan orang pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang terdiri dari En Muhamad Faiz bin Jofri selaku Pengarah Program serta tiga puluh orang pelajar daripada kelas DKM5A dan DKM5B. Sebaik tiba di lokasi, rombongan telah disambut dengan mesra oleh pihak syarikat. Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Tuan Haji Abd Aziz bin Mohd Haron selaku penceramah. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi tentang sejarah penubuhan syarikat, cabaran yang dilalui dalam industri makanan halal, serta kepentingan pematuhan standard halal dalam setiap proses pengeluaran produk. Penerangan beliau bukan sahaja memberi pengetahuan baharu kepada pelajar, malah turut menyuntik inspirasi dalam aspek keusahawanan dan pengurusan industri makanan.Lawatan ini memberikan gambaran sebenar tentang aplikasi teori ke dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan pelajar mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang operasi syarikat, strategi pemasaran, serta peluang kerjaya yang tersedia dalam bidang industri makanan. Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi impak yang positif kepada pelajar dan pensyarah. Ia bukan sahaja memperkukuhkan pemahaman tentang industri halal, malah menanam semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan antara Politeknik Melaka dengan pihak industri serta memperkasakan kebolehpasaran graduan.