PMK Global Synergy: TVET Knowledge, Culture & Community
Hari Ketiga
Bengkalis, 16 September 2025 – Hari terakhir program PMK Global Synergy: TVET Knowledge, Culture & Community dimulakan dengan suasana santai apabila delegasi Politeknik Melaka (PMK) dibawa bersarapan di kedai kopi YogJakarta Bengkalis yang terkenal. Keenakan juadah tempatan di sini memberikan pengalaman citarasa baharu buat staf dan pelajar PMK. Turut hadir pada sesi ini ialah Bapak Nur Faizi, Ketua Jurusan Teknik Elektro, yang turut membawa bersama wartawan Radio Republik Indonesia (RRI) Bengkalis untuk mengikuti perjalanan lawatan hari ketiga ini.
Selepas itu, delegasi dibawa ke Pasar Terubuk Bengkalis untuk membeli makanan tempatan dan cenderahati, sebelum singgah di pusat batik Bengkalis. Di sini, delegasi terpesona dengan kualiti batik yang unik dan bermutu tinggi. Lebih bermakna, staf dan pelajar diberi peluang mencetak batik sendiri, satu pengalaman baharu yang mencetuskan rasa teruja serta membuka ruang kreativiti.
Rombongan kemudiannya berkunjung ke Pusat Tenunan Songket Bengkalis, Tenun Putri Mas. Delegasi berpeluang menyaksikan proses tenunan songket tradisional yang dijalankan secara manual oleh pekerja yang penuh ketekunan dan kesabaran. Melihat seni halus ini memberi kesan mendalam, membuktikan bahawa warisan budaya adalah hasil kerja tangan yang bukan sahaja bernilai seni tetapi juga lambang jati diri bangsa.
Sebelum pulang, delegasi turut dibawa ke kedai pembuatan keropok ikan dan sagu, di mana ramai peserta mengambil peluang membeli sebagai buah tangan.
Menjelang petang, tibalah masa perpisahan di Terminal Jeti Bengkalis. Walaupun hanya bersama selama tiga hari, suasana menjadi syahdu apabila staf dan pelajar kedua-dua institusi bersalaman tanda perpisahan. Rasa kebersamaan, persaudaraan dan kasih sayang yang terjalin sepanjang program begitu mendalam, seolah-olah tiada sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Delegasi PMK selamat tiba di Terminal Jeti Muar sekitar jam 4.30 petang, berhenti makan di Muar dan akhirnya tiba di PMK pada jam 7.00 malam dengan selamat.
Perpisahan bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada ikatan baharu. Ilmu, budaya dan kasih sayang yang dikongsi di Bengkalis menjadi bekal berharga untuk masa hadapan.
Program PMK Global Synergy telah berjaya mencapai semua objektif yang digariskan, bagi staf, ianya dapat memperkukuh kemahiran pengurusan, membina rangkaian antarabangsa dan menimba inspirasi daripada budaya serta inovasi rakan sejawatan. Bagi pelajar, ianya dapat meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi rentas budaya dan pengalaman belajar di luar bilik kuliah. Bagi alumni pula, ianya dapat memperkukuh identiti sebagai jambatan penghubung antara generasi dan penyumbang dalam kolaborasi.
Syukur tidak terhingga, keseluruhan program ini telah berlangsung dengan jayanya, menyatukan ilmu, budaya dan komuniti dalam satu pengalaman antarabangsa yang tidak ternilai. Semoga peluang seperti ini akan terus diberikan pada masa hadapan demi melahirkan generasi TVET yang berwawasan global dan berjiwa insani.




















