PROGRAM MEMASAK DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK POLITEKNIK MELAKA SEMARAKKAN SEMANGAT RAMADAN
Oleh : Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Melaka, 19 Mac 2025 – Semangat Ramadan terus disemarakkan di Politeknik Melaka dengan penganjuran Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk, yang berlangsung meriah di perkarangan Politeknik Melaka (PMK). Program tahunan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar, staf, dan komuniti setempat selain menghayati amalan bersedekah sepanjang bulan mulia ini.
Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, PUSPANITA PMK dan Kelab Kebajikan Staf ini berjaya menarik lebih 100 sukarelawan dalam kalangan pelajar dan pensyarah yang bergotong-royong menyediakan 1000 bungkus bubur lambuk dan lain-lain juadah untuk diedarkan kepada warga politeknik.
Proses memasak bermula seawal jam 8.00 pagi dengan persiapan bahan-bahan seperti beras, santan, daging, dan rempah ratus. Aktiviti ini turut diketuai oleh chef berpengalaman terdiri daripada staf Politeknik Melaka yang memberikan tunjuk ajar kepada pelajar dalam penyediaan bubur lambuk yang enak dan berkualiti.
Sesi agihan bubur lambuk bermula pada jam 3.30 petang, di mana pelajar dan staf politeknik berbaris untuk menerima juadah istimewa ini. Dengan kejayaan meneruskan program ini, Politeknik Melaka berharap tradisi memasak dan mengagihkan bubur lambuk dapat diteruskan setiap tahun sebagai satu bentuk sumbangan kepada masyarakat serta platform dalam mendidik pelajar tentang kepentingan amal jariah dan kebajikan.