SMILE WITH PMK “SAHABAT KECIL”
Oleh : Zaihasra Binti Rukiman
08 Mac 2025, Sabtu – Seramai 14 pelajar DAT2B Jabatan Perdagangan dan 2 staf Politeknik Melaka telah mengadakan Program SMILE WITH PMK “SAHABAT KECIL” di Hospital Jasin, Melaka yang melibatkan wad kanak-kanak dengan tujuan utama untuk beramah mesra dengan pesakit kanak-kanak, keluarga mereka serta staf hospital. Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak yang menerima rawatan, memberikan sokongan moral dan semangat kepada mereka dalam suasana yang penuh kasih sayang dan perhatian. Melalui program ini secara tidak langsung dapat mewujudkan ikatan yang lebih mesra antara masyarakat dan pihak hospital. Program bermula pada jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi bersama dengan doktor dan jururawat bertugas.
Program lawatan ke hospital kanak-kanak ini memberikan impak yang sangat positif kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pelajar, pensyarah, dan komuniti. Melalui interaksi beramah mesra dengan pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka, program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran dan empati terhadap keperluan kesihatan fizikal dan emosi kanak-kanak. Peserta program dapat lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang sedang sakit serta pentingnya sokongan sosial dalam proses penyembuhan. Secara keseluruhan, program lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang terlibat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Ia mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi, membina hubungan yang lebih kukuh, dan mendorong masyarakat untuk lebih peka serta bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan kanak-kanak.