como crear una pagina web

Oleh : Mohd Khairuddin bin Ahmad Khair

Melaka, 5 Februari 2025 – Pilihan Raya Kampus Politeknik Melaka berlangsung dengan penuh semangat demokrasi apabila ratusan pelajar turun padang untuk menjalankan tanggungjawab mereka memilih barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi tahun 2025.

Proses pemilihan yang dijalankan secara fizikal ini menyaksikan seramai 31 calon bertanding bagi merebut kerusi di dalam JPP. Antara jawatan utama yang dipertandingkan termasuk Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Bendahari serta Exco Akademik, Kebajikan, Sukan, dan Multimedia.

Pengurus Pilihan Raya Kampus Politeknik Melaka, Encik Mohd Nazim bin Zakaria, menyatakan bahawa pilihan raya kampus adalah satu platform terbaik untuk membentuk kepimpinan masa depan dalam kalangan pelajar. "Melalui proses demokrasi ini, pelajar diberi peluang untuk memilih pemimpin yang akan mewakili suara mereka serta menyuarakan isu-isu penting di peringkat institusi," katanya.

Pilihan raya kali ini menyaksikan peningkatan peratusan jumlah pengundi berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan memilih pemimpin yang berkredibiliti. Proses pengundian berlangsung dengan lancar di bawah pemantauan Sekretariat Pilihan Raya Kampus (SPRK), yang terdiri daripada staf akademik dan sukarelawan pelajar.

Salah seorang calon, Ainaa Sofiyah, menyatakan bahawa beliau ingin membawa perubahan dalam aspek kebajikan pelajar dan memperkasakan program pembangunan sahsiah. "Saya ingin memastikan suara pelajar didengari dan setiap aktiviti yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada semua," katanya ketika berkempen.

Seorang pengundi, Aqil Haiqal, meluahkan rasa teruja kerana dapat terlibat dalam proses demokrasi di peringkat kampus. "Saya rasa pilihan raya ini sangat penting kerana ia menentukan hala tuju aktiviti pelajar sepanjang tahun," katanya.

Keputusan rasmi pilihan raya diumumkan pada sebelah petang selepas proses pengiraan undi selesai. Dengan penganjuran pilihan raya kampus ini, Politeknik Melaka berharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berkredibiliti serta mampu menjadi ejen perubahan dalam komuniti kampus dan masyarakat.

BERITA PMK

CAPAIAN POPULAR

Ke Atas