Politeknik Melaka, 27 Jun 2020 - Sebagai salah satu program tanggungjawab terhadap masyarakat setempat, Jawatankuasa Muafakat Masyarakat Politeknik Melaka telah bekerjasama dengan masyarakat setempat dengan JPKK Pokok Mangga dan Japerun Dun Kesidang  untuk menghulurkan bantuan kemasyarakatan kepada mereka yang memerlukan di sekitar kawasan Pokok Mangga.

 

Menurut Ts Mohd Azamri Kandari Timbalan Pengarah Politeknik Melaka berkata, penerima bantuan terdiri daripada golongan warga emas yang mengalami strok atau lumpuh tubuh badan, orang kelainan upaya (OKU), mangsa kemalangan dan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik. Salah seorang penerima merupakan pesara yang terselamat dalam kejadian tembak menembak kongsi gelap Botak Chin pada tahun 1976.  Dalam program ini, sumbangan yang diberikan seperti kerusi roda, wang tunai, barangan keperluan harian, lampin pakai buang serta botol susu. Barangan sumbangan ini telah ditaja oleh Muafakat Masyarakat Politeknik Melaka, Klinik Pakar Ortopedik Dr Zafri Helmi, Putra Specialist Hospital serta Japerun Kesidang.

   

Program Muafakat ini turut disertai Klinik Pakar Ortopedik Dr. Zafri Helmi Putra Putra Specialist Hospital, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Majlis Agama Islam Melaka serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hadir sama Pengerusi Muafakat Masyarakat Encik Mohd Hadi Nasarudin bin Ali dan beberapa orang ahli jawatankuasa.

   

Program Muafakat Masyarakat ini telah menampakkan satu hubungan yang erat dengan masyarakat dan dengan adanya program sebegini ia dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para penerima sumbangan disamping membuka mata semua pihak untuk bersama-sama cakna keadaan masyarakat sekeliling yang memerlukan sokongan dan bantuan kita. Program sebegini juga diharapkan dapat memberi ruang dan peluang untuk pihak PMK bekerjasama dengan agensi-agensi yang lain pada program yang akan datang seperti pepatah Melayu pernah menyebut “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”; katanya.