19hb September 2020, Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi - Pada hari minggu yang lalu, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Melaka telah menyertai satu program bersama komuniti, diberi nama 'World Cleanup Day' . 'World Cleanup Day' adalah gerakan sivik, menyatukan berjuta-juta orang di seluruh dunia untuk membersihkan planet ini. Program ini dijalankan secara serentak seluruh Malaysia sebagaimana negara-negara lain diseluruh dunia pada setiap Sabtu ketiga bulan September.

  

     Satu sesi taklimat oleh pihak SWCorp kepada peserta telah diberikan bagi memastikan semua kekal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majis Keselamatan Negara. Kami bermula pada sesi pagi di Bukit Beruang dengan membersihkan segala sampah di sepanjang laluan trek ke puncak Bukit Beruang dan juga trek semasa menuruni. Turut Bersama-sama ialah beberapa NGO dan institusi Pendidikan lain. Hasil dari kutipan sampah pada hari itu telah diasingkan mengikut kategori kertas, tin, besi, plastic, puntung rokok dan kotak minuman. 

Kami bergerak ke lokasi kedua iaitu Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi bagi fasa ke dua iaitu pembersihan pantai. Majlis Perasmian Pelancaran oleh Ketua Menteri Melaka dijadualkan akan berlangsung disini pada sesi petang. Di sini pembersihan pantai Kampung Tanjung Dahan yang melibatkan lebih banyak NGO, IPTA dan penduduk setempat akan dijalankan. Acara bermula dengan setiap kumpulan dibahagikan kepada kumpulan kecil semasa kerja pembersihan dijalankan. Kami disediakan plastic lutsinar untuk sampah yang boleh dikitar semula dan plastic hitam untuk sampah yang tidak boleh dikitar semula dan hanya diperuntukkan masa selama 1 jam untuk kerja pembersihan. Sampah yang dikutip juga diasingkan mengikut kategori dan dilabelkan. Menurut salah seorang peserta Mohd Asri bi Ibrahim “Program seumpama ini mampu menyedarkan kesedaran sivik dikalangan seluruh peserta akan kepentingan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab individu.

  

 

  

Acara kemuncak pada hari itu sebagai tanda kempen pemeliharaan alam sekitar ialah acara pelepasan anak penyu jenis karah yang merupakan penyu tercantik didunia. Yang Berhormat ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman mewakili Ketua Menteri Melaka telah sudi membuat pelepasan anak penyu sebanyak 485 ekor disaksikan semua para hadirin.