LAWATAN BALAS KUNJUNG HORMAT IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU MELAKA DAN PERBINCANGAN KOLABORASI STRATEGIK
Politeknik Melaka, 1 Julai 2020 – Politeknik Melaka telah menerima lawatan balas kunjung hormat dari Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu Melaka seramai 9 orang dengan diketuai oleh Timbalan Pengarah IPG KPM iaitu Dr Norshidah binti Abu Husin. Lawatan balas tersebut lebih memfokuskan kepada perbincangan kolaborasi strategik antara PMK dengan IPG KPM. Perbincangan kolaborasi diadakan di Bilik Mesyarat Persidangan bermula jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Pihak IPG KPM mencadangkan perkongsian pemberian latihan, kursus dalam pembangunan insaniah, pedagogi pengajaran dan pembelajaran kepada pensyarah dan kursus pembangunan insaniah dan sahsiah untuk mahasiswa. Di samping itu, pihak IPG KPM juga berminat untuk bekerjasama dalam program sukarelawan dan pengantarabangsaan dan pembangunan dan penyelidikan (R&D). Pihak IPG KPM juga menerima untuk bekerjasama dalam perkongsian peralatan pembelajaran dan pengajaran (PdP),peralatan umum, tempat program dan fasiliti. Politeknik Melaka amat berbesar hati dengan kerjasama yang sudi diberikan oleh pihak IPG KPM. Politeknik Melaka akan memberi kerjasama dalam perkongsian kepakaran ilmu dan latihan praktikal dalam bidang kejuruteraan. Disamping itu, PMK akan bekerjasama dalam penyelidikan, penerbitan, penulisan dan pembentangan bersama pensyarah di IPG KPM. Diharapkan jalinan kolaborasi yang terjalin ini akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.