30 April 2020, Politeknik Melaka - Hari Ke-44 PKP menjadi hari terakhir buat En. Mohd Ariffin Bin Aman, Timbalan Pengarah Politeknik Melaka dalam berbakti kepada perkhidmatan awam. Tanggal 30 April 2020 menjadi hari bersejarah buat En. Mohd Ariffin yang akan bersara pilihan bermula 2 Mei 2020 dan detik-detik akhir beliau bergelar penjawat awam dirakamkan di saat PKP sedang berkuatkuasa di negara kita. Detik akhir beliau di Politeknik Melaka telah disaksikan oleh En. Charim Bin Ibrahim@Berahim, Pengarah Politeknik Melaka dan nota serah tugas beliau telah diserahkan kepada Tuan Pengarah pada 30 April 2020 di pejabat Pengarah, PMK.

 

En. Mohd Ariffin telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Pendidikan Siswazah pada 1 Ogos 1991 di Politeknik Kuching, Sarawak dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Jabatan Matematik, Sains & Komputer di politeknik yang sama. Beliau kemudian telah meneruskan perkhidmatan di Politeknik Merlimau Melaka bermula pada 1 Februari 2004 sebagai Pegawai Pendidikan Siswazah dan seterusnya sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM. En. Mohd Ariffin kemudian telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Politeknik Melaka pada 16 Disember 2011 sehingga ke hari ini. Perkhidmatan beliau selama 29 tahun ini sememangnya memberi banyak pengalaman dan kenangan yang bermakna kepada beliau dan juga kepada seluruh warga politeknik khususnya kepada warga PMK, PMM dan PKS yang pernah berkhidmat bersama beliau.

Seluruh warga Politeknik Melaka mengucapkan selamat bersara kepada En. Mohd Ariffin Bin Aman dan ucapan penghargaan terima kasih buat beliau di atas segala bakti khidmat beliau selama berada di Politeknik Melaka khususnya. Semoga En. Mohd Ariffin dapat menjalani kehidupan yang gembira bersama keluarga tercinta dan sentiasa di dalam lindunganNya.

“Di Asahan banyak kayu jati,

Jadi tumpuan seluruh Melaka,

Perpisahan ini sangat menyedihkan hati,

Banyak jasa tuan di POLITEKNIK MELAKA.”

- Nukilan En. Charim Bin Ibrahim@Berahim -