19 Oktober 2020, Tehel - Pada pagi 16 Oktober, Jumaat yang lalu, penduduk sekitar Kg Tehel telah diuji dengan kejadian alam iaitu banjir kilat. Hujan pada awal pagi disaat penduduk sedang lena dibuai mimpi , kelihatan seperti hujan yang turun sebelum ini, tetapi tidak. Seawal jam 7 pagi , kesan dari hujan tersebut mulai terasa apabila satu persatu kawasan rendah mula dinaiki air terutama yang berhampiran tebing Sungai Air Panas. Air sungai sudah melepasi benteng yang dibina bagi menghalang kenaikan air. Kampung yang terjejas ialah Kampung Tehel, Tanjung Labuh dan Parit Lampong. Mereka telah dipindah ke Sek Kebangsaan Tehel untuk sementara waktu. Selepas 2 malam mereka ditempatkan di pusat pemindahan, mereka dibenarkan pulang pada petang Ahad.

  

Politeknik Melaka Bersama wakil AKRAB Politeknik Melaka, Dr Nor Watee telah hadir bagi menyampaikan bantuan keperluan asas iaitu Kotak Rezeki Ummah sumbangan NGO MyFundAction. Kami dibantu oleh Encik Mohd Yassin bin Jantan , Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung. Seramai 30 keluarga telah menerima bantuan dengan mengambilkira kawasan yang paling teruk terjejas. Penduduk yang terjejas disebabkan banjir seperti En Noor Muhammad 34, yang mengusahakan tanaman cili padi. Cili yang baru sahaja di semai sepanjang sejengkal telah rosak disebabkan banjir pada hari tersebut.

      

  

 

Rombongan kami tersentuh semasa menziarah sebuah rumah asnaf yang dihuni oleh 2 insan yang cekal. Nenek ini berusia 85 tahun , telah kehilangan penglihatan mata akibat sakit. Nenek ini dijaga oleh anaknya Che Ros Binti Che Man berusia 51 tahun, seorang 'lembam'. Beliau pernah diserang ‘stroke’ tidak lama dahulu. Semasa perbualan nenek ini beberapa kali menyatakan bagaimana dulu semasa kecil selalu mengaji disurau. Namun disebabkan tidak dapat melihat beliau tidak lagi dapat mengaji seperti dahulu. Dalam sebak beliau menyatakan rindunya untuk mengaji semula.