17 OKTOBER 2020, Politeknik Melaka – Satu BENGKEL PENGURUSAN KEWANGAN MASJID telah diadakan di Balai Raya Kampung Sempang, Merlimau. Jabatan Perdagangan (JP) telah menerima jemputan daripada Pengerusi Masjid As-Syakirin untuk menyampaikan ceramah berkaitan Pengurusan Kewangan Masjid. Pn. Noor Azira binti Sawal, Encik Mohd Fauzi bin Abu Bakar, Pn. Normala Binti Salimin, Pn. Nurul Safwanah Binti Muhammad Saleh dan Puan Rosmaria merupakan pensyarah yang terlibat dalam melaksanakan bengkel ini. Peserta bengkel ini terdiri daripada 13 orang peserta yang merupakan bendahari bagi Masjid dan juga surau sekitar Kampung Sepang. Bengkel telah dimulakan dengan bacaan surah Al-fatihah dan diikuti dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Masjid As Syakirin iaitu Haji Mohd Nasiruddin Bin Ibrahim dan kemudiannya diteruskan lagi dengan taklimat berkaitan prosedur dan peraturan kewangan masjid yang disampaikan oleh Pn. Noor Azira. Sesi berikutnya diteruskan lagi dengan taklimat berkaitan tatacara rekod kewangan masjid yang disampaikan oleh En. Fauzi.


 

 

Tujuan Program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan kaedah dan tatacara pengurusan kewangan masjid yang lebih sistematik mengikut Garis Panduan Jawatankuasa Kariah bagi Masjid dan Surau Negeri Melaka kepada bendahari Masjid As Syakirin dan surau-surau berdekatan Kg Simpang. Selain daripada itu melalui bengkel ini juga para peserta diberi pendedahan secara praktikal berkaitan pengurusan rekod penerimaan dan pembayaran melalui  Buku Tunai Masjid dengan bantuan  fasilitator Pn. Normala, Pn. Safwanah dan Pn. Romasria. Buku Tunai Masjid adalah merupakan produk inovasi yang dihasilkan oleh sekumpulan Pensyarah Jabatan Perdagangan. Melalui bengkel ini juga diharap dapat menyelaras peraturan, menambah baik prosedur, borang-borang dan amalan-amalan baik dalam pengurusan kewangan masjid agar ianya lebih effisen dan teratur khususnya kepada para peserta. Bengkel ini juga bertujuan meningkatkan kepentingan dan kesedaran didalam penyediaan laporan penyata kewangan masjid agar ianya lebih teratur dan selaras dengan peraturan.

 

Semua peserta yang terlibat dalam program ini memberikan maklumbalas yang positif terhadap perkongsian ilmu yang diberikan. Ia merupakan satu platform yang tepat dalam usaha melahirkan bendahari masjid yang bukan sahaja menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna, teratur dan telus malah dapat menjaga harta bagi kepentingan sesebuah masjid melalui rekod-rekod yang berkaitan dengan kewangan masjid. Semoga dengan dengan adanya bengkel seumpama ini diharap akan dapat membantu para peserta dalam menyelesaikan mana-mana kekeliruan prosedur dan juga memberi ruang kepada pensyarah dan bendahari masjid serta surau untuk berkerjasama dengan lebih dekat lagi semasa menghadiri bengkel ini.

Sumber dari Nurul Safwanah Binti Muhammad Saleh.