13 OKTOBER 2020, Politeknik Melaka - Commerce Department Society (CODES) telah menganjurkan Program MIA Virtual Career Talk. Program yang dibuat secara maya menggunakan aplikasi Microsoft Team ini dilaksanakan bersama-sama Unit Pengantarabangsaan Politeknik Melaka. Peserta program ini terdiri daripada 72 orang pelajar tahun akhir Program Diploma Akauntansi Politeknik Melaka, 2 orang pelajar daripada Politeknik Negeri Medan, 4 orang pelajar daripada Politeknik Negeri Bali dan 2 orang pelajar daripada Politeknik Negeri Bengkalis. Kandungan perbincangan ini diketuai oleh Puan Nurul Farhana binti Abdul Raof iaitu Pengurus daripada Competency Development dan Framework Department Of MIA.

Tujuan Program yang berprestij ini adalah antara lainnya untuk meningkatkan lagi pengetahuan pelajar dan pensyarah berkenaan peluang kerjaya dalam bidang perakaunan di industri masakini. Mendapatkan pendedahan berkaitan cabaran apabila berhadapan dengan revolusi industri 4.0 dengan kerjaya akauntan. Seterusnya untuk terus kekal dalam industri ketika dunia diuji dengan Pandemic Covic-19.

 

Menurut Ketua Program Diploma Akauntansi iaitu Encik Saifulnizam bin Zakariah ketika ditemubual, beliau berasa bangga kerana kesungguhan para pelajar dan pensyarah menjayakan program yang sangat baik seperti ini. Seharusnya pelajar mengambil segala ilmu yang dikongsikan dalam sesi perbincangan hari ini kerana ianya sangat berguna ketika pelajar berada di industri kelak. Begitu juga diharapkan pihak MIA akan sentiasa bersama-sama dengan Politeknik dengan memberi input dan latihan dalam merealisasikan misi institusi melahirkan bakal akauntan yang berkualiti dan berkaliber di masa akan datang.

 

 

Pelaksanaan program ini telah membuktikan bahawa para pelajar amat dahagakan program yang dapat memberikan semangat dan motivasi yang tinggi kepada mereka. Ia merupakan suatu platform yang tepat dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai matlamat dan halatuju yang betul dalam memacu kehidupan. Di samping itu, program seumpama ini juga dapat mengukuhkan hubungan di antara pelajar, pensyarah dan sebuah badan yang diiktiraf profesional di Malaysia. Semoga program yang dijalankan dapat memberikan impak positif kepada para pelajar dalam pembentukan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.