7 Ogos 2020, Politeknik Melaka - Tanggal 30 Julai 2020 melakar detik akhir perkhidmatan awam buat Tuan Pengarah Politeknik Melaka, En. Charim Bin Ibrahim@Berahim yang bakal bersara wajib pada 1 Ogos 2020. Detik akhir beliau telah disaksikan bersama sebahagian besar staf Politeknik Melaka yang telah sama-sama berkumpul untuk memberikan salam hormat dan salam perpisahan buat beliau

      

En. Charim Bin Ibrahim @ Berahim telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran  pada 1 Ogos 1987 di Politeknik Batu Pahat, Johor,  dan seterusnya telah bertukar ke beberapa politeknik seperti Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Port Dickson dan Politeknik Kota Kinabalu. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Politeknik Port Dickson pada 4 Mei 2009 dan seterusnya telah dinaikkan pangkat ke Gred DH54 pada 16 Februari 2016 di Politeknik Kota Kinabalu. En. Charim kemudian telah menyambung perkhidmatan di Politeknik Melaka pada 1 September 2018 dan kemudiannya telah dilantik menjadi Pengarah Politeknik Melaka pada 2 Januari 2019. Perkhidmatan beliau selama 33 tahun ini sememangnya memberi banyak pengalaman dan kenangan yang bermakna kepada beliau dan juga kepada seluruh warga politeknik khususnya kepada warga PMK serta politeknik lain yang pernah berkhidmat bersama beliau.

 

     

Seluruh warga Politeknik Melaka mengucapkan selamat bersara kepada En. Charim Bin Ibrahim@Berahim dan ucapan penghargaan terima kasih buat beliau di atas segala bakti khidmat beliau selama berada di Politeknik Melaka khususnya. Semoga En. Charim Bin Ibrahim@Berahim dapat menjalani kehidupan yang gembira di samping keluarga tersayang.

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.