LAWATAN PENDIDIKAN KE PENJARA BANDA HILIR, MELAKA
Melaka, 02 Mei 2024 – Jabatan Pengajian Am Politeknik Melaka telah menganjurkan Lawatan Pendidikan ke Muzium Penjara Banda Hilir pada 2 Mei 2024. Lawatan ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari bertempat di Muzium Penjara Banda Hilir, Jalan Parameswara, Melaka. Seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar semester satu Jabatan Perdagangan dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Melaka yang mengambil kursus MPU21032- Penghayatan Etika & Peradaban telah menyertai lawatan ini. Para pelajar diiringi oleh 7 orang pensyarah daripada Jabatan Pengajian Am.
Lawatan ini dimulai dengan sesi penerangan oleh Inspektor Muhammad Firdaus tentang jenis-jenis kesalahan sivil dan hukumannya. Setelah itu, para pelajar dibawa melawat pameran barang-barang yang terdapat di muzium ini seperti gari, lokap sementara, tali gantung, sel asingan, buku daftar kemasukan banduan, pakaian banduan, kelengkapan yang digunakan oleh banduan, tempat mandi banduan, dan lain-lain. Kemudian, para pelajar berpeluang menonton tayangan video mengenai demostrasi sebatan. Akhir sekali, para pelajar dapat menyaksikan tayangan teater tentang kesalahan jenayah dan demostrasi hukuman gantung.
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kesalahan jenayah dan hukumannya. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memupuk keinsafan di dalam diri para pelajar mengenai kes jenayah dan seterusnya dapat membentuk individu dan masyarakat yang beretika serta berakhlak mulia. Rata-rata pelajar amat teruja mengikuti lawatan ini dan berharap agar lawatan ini dapat dianjurkan lagi pada masa yang akan datang.
Written by Nor Suriati Binti Jamaludin