PROGRAM HIFZ AL-QURAN PERINGKAT PENGAJIAN TINGGI TAHUN 2023
Oleh : Dr. Norhana Ahad
25 Oktober 2023, Melaka - Al-Quran merupakan naskhah agung yang tiada tandingan dan akan kekal terpelihara daripada sebarang perubahan hingga ke hari kiamat. Dalam menjaga kesucian mukjizat agung ini, ada adab tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap individu bagi memastikan penjagaan dan pemuliharaannya itu menepati saranan adab yang digariskan oleh Islam dan juga pihak berwajib yang mengawal selia proses pengendalian al-Quran ini.
Di Malaysia, penjagaan alQuran berada di bawah pengawalan Bahagian Penguatkuasaan & Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (Lajnah Tasheh Al-Quran). Dari aspek penguatkuasaan, usaha berterusan pihak KDN adalah memastikan setiap mushaf itu perlu mempunyai cop kelulusan dan pelekat hologram KDN.
Justeru, sebagai langkah matlamat suci ini, Bahagian KDN dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Pengajian Am Politeknik Melaka (JPA PMK) telah menganjurkan Program Hifz al-Quran Peringkat Pengajian Tinggi tahun 2023. Program selama sehari ini melibatkan seramai 85 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar dan staf PMK, selain beberapa jawatankuasa masjd dan surau dari sekitar PMK. Program ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna PMK.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah II PMK, Dr. Azlan Muharam. Dalam ucapan penutupan program ini, Dr. Azlan Muharam menzahirkan rasa keterujaan sekiranya warga PMK diberikan ruang dan peluang untuk bersama-sama pihak KDN dan JAIM melihat secara dekat proses pelupusan dan pemuliaan al-Quran yang dilaksanakan di Tanjung Bruas Port, Melaka. Hal ini dilihat sebagai peluang baharu yang mungkin boleh didedahkan kepada pelajar khususnya dalam usaha meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap kemuliaan al-Quran.
Adalah diharapkan agar program advokasi sebegini dapat memupuk rasa kesedaran kepada peserta untuk bersama-sama menjadi ‘agen’ secara tidak langsung yang turut sama membantu agensi yang terlibat dalam mengawal selia dan menjaga kesucian Al Quran. Di peringkat individu pula diharapkan anjuran ini menyuntik rasa cakna terhadap kepentingan memiliki mushaf yang diperakui KDN bagi mengelakkan simpanan naskhah al-Quran yang terdedah kepada kesalahan dan penyelewengan.