26 Oktober 2023, Melaka - Berdasarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Ogos 2020, pihak NACSA melalui Pasukan Computer Security Response Team (CSIRT) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah memberi saranan untuk mengadakan program-program berkaitan perlindungan keselamatan ICT di agensi kerajaan yang perlu dilaksanakan di peringkat organisasi dan agensi. 

Justeru, pada 26 Oktober 2023 yang lalu Unit Teknologi Maklumat Politeknik Melaka dengan kerjasama agensi-agensi keselamatan negeri Melaka telah mengambil inisiatif bagi mengadakan Seminar Keselamatan Siber PMK 2023 : Say No To Scammers!  yang bertujuan untuk membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran di kalangan warga Politeknik Melaka tentang perlindungan keselamatan dalam persekitaran ICT dan jenayah siber masa kini.

Seramai lebih 100 peserta yang terdiri dari staf dan pelajar PMK telah menjayakan seminar ini yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 1 tengahari. Seminar dihangatkan lagi dengan penyampaian ceramah dari dua orang penceramah jemputan iaitu Encik Mohd Fadzil bin Kasim @ Othman, Penolong Pegawai Keselamatan Kerajaan Negeri Melaka dengan tajuk “Keselamatan di dalam Persekitaran ICT” dan Inspektor Nor Izrayasrina binti Muhammad Saad, Pegawai Penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan tajuk terkini “Waspada Jenayah Siber Masa Kini”.

Sepanjang seminar berlangsung, para peserta didedahkan dengan pengurusan, pengelasan, pengelasan semula, pengendalian, pengarkiban dan pemusnahan rahsia rasmi dalam persekitaran ICT. Selain itu, peserta juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan bagi membantu masyarakat menyemak kesahihah sesuatu tawaran yang diberikan kepada mereka melalui aplikasi Semak Mule PDRM, CCID Infoline dan CCID Scam Response Center. Seminar turut menerima sambutan hangat di booth pameran dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan pelbagai risalah menarik dan perkongsian pelbagai aplikasi keselamatan yang perlu diketahui masyarakat.

Semoga seminar ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warga Politeknik Melaka agar sentiasa peka dan bebas dari terjebak ke dalam sebarang isu negatif berkaitan keselamatan ICT dan jenayah siber kini. Sila klik di sini untuk Imbasan Program Seminar Keselamatan Siber 2023: "Say No To Scammers"