Oleh: Ahmad Fadli bin Abd Hadi

Politeknik Melaka – Minggu JMSK 2023 anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer adalah satu program yang diadakan secara berkala setiap tahun untuk memberi pendedahan dan menyemai minat para pelajar dan staf Politeknik Melaka (PMK) tentang Matematik, Sains dan Komputer yang sentiasa diaplikasi di dalam kehidupan seharian. Terdapat tiga kategori aktiviti yang telah diadakan sempena Minggu JMSK ini iaitu aktiviti berbentuk kuiz (Guess the count, Abacus Genius, EinStein Junior dan Wheel of Fortune), aktiviti berunsur STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) iaitu DIY Solar Car Competition dan aktiviti berunsur kelas dan bengkel iaitu bengkel Fun With Algebra, Canva Creator Challenge dan Microsoft Word Short Course.

Minggu JMSK ini juga adalah kesinambungan Minggu Sains Negara (MSN) 2023 yang berakhir pada bulan Oktober 2023 dan telah bermula seawal 17 April 2023 yang lalu. Diharapkan penganjuran program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga PMK terhadap kepentingan matematik, sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan

Program ini telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Oktober sehingga 12 Oktober 2023 bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang di Makmal Komputer 1, Dewan Serbaguna, wakaf dan sekitar PMK. Seramai 80 orang pelajar telah menjawab borang soal selidik keberkesanan program. Program telah mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar dan berjalan dengan lancer serta mencapai objektif yang ditetapkan.

Fun With Algebra menjadi acara pembuka untuk Minggu JMSK 2023 dengan penyertaan daripada semester 2,3,4 dan 5 daripada pelbagai jabatan. Pelajar Diploma Kejuruteraan Awam menjadi peserta teramai apabila mendapat sokongan daripada jabatan induk dengan mengarahkan pelajar-pelajar yang agak lemah untuk mengikuti program ini. Aktiviti seterusnya adalah Canva Creator Challenge. Penyertaan program ini adalah terbuka kepada semua dan dijalankan di Makmal Komputer 1 dan berjalan lancer. Program ini menyediakan hadiah kepada 6 pemenang. Hari pertama diakhiri dengan program kursus pendek “Asas Microsoft Word” dijalankan di Makmal Komputer 1 dan disertai oleh 29 orang pelajar.

Robot Solar Car Competition dijalankan pada hari Rabu, 11 Oktober 2023 bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari. Dalam masa 2 jam 30 minit ini para peserta perlu memasang model kereta solar dan merancang, membina dan menyiapkan litar kereta solar mereka. Program ini disertai oleh 7 kumpulan, di mana setiap kumpulan disertai oleh 3 orang pelajar. Manakala aktiviti berbentuk kuiz dijalankan sepanjang Minggu JMSK 2023 di sekitar politeknik kecuali Wheel Of Fortune dan Guess the Count diadakan di pondok wakaf berhadapan bangunan pentadbiran.

Majlis Penutup Minggu JMSK 2023 diadakan pada hari Khamis, 12 Oktober 2023 bermula jam 2.30 petang. Majlis diserikan dengan kehadiran Pengarah PMK, Sr. Hj Razali Johari dan Timbalan Pengarah 2, Dr Azlan bin Muharam. Dalam ucapan perasmian, Sr Hj Razali mengucapkan tahniah kepada JMSK kerana telah berjaya menganjurkan acara tahunan JMSK tanpa gagal dan mengucapkan tahniah atas komitmen para pensyarah JMSK yang tanpa henti melaksanakan pelbagai program selama ini. Selain itu juga tuan pengarah meletakkan harapan kepada JMSK agar dapat melaksanakan Minggu JMSK pada tahun hadapan pada skala yang lebih besar dengan melibatkan sekolah-sekolah sekitar Melaka dan komuniti setempat.

Secara keseluruhannya program ini berjaya mencapai objektifnya iaitu memberi pendedahan dan memupuk minat kepada pelajar dan staf PMK terhadap kepentingan matematik, sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan. Adalah diharapkan program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana program ini secara tidak langsung dapat memperbaiki cara fikir dan pandangan warga Politeknik Melaka serta meningkatkan pencapaian pelajar secara tidak langsung dan memberi manfaat kepada semua.