Oleh: Nor Suriati Jamaludin

MELAKA– Ilmu falak merupakan satu disiplin ilmu agama yang menjadi sebahagian daripada ilmu fiqh. Dominasi para ulama dalam menebangkan ilmu ini bukan semata-mata kerana kewibawaan institusi ulama tetapi disebabkan oleh perkaitan rapat ilmu tersebut dengan keperluan agama.

 Justeru itu, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Melaka dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengambil inisiatif menganjurkan Kem Falak & Astronomi Politeknik Melaka Tahun 2023. Program ini diadakan pada 11 Oktober 2023 bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka. Seramai 33 orang pelajar semester 5 Jabatan Kejuruteraan Elektrik terlibat dalam program ini. Para pelajar diiringi oleh 3 orang pensyarah daripada Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Melaka.

 Program ini diadakan adalah bertujuan untuk membekalkan pengetahuan kepada pelajar tentang ilmu astronomi di samping mendedahkan para pelajar mengenai cerapan langit, matahari, bulan dan bintang serta menyediakan peluang kemahiran insaniah dengan potensi kebolehpasaran kepada graduan Politeknik Melaka seterusnya mampu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berwibawa dan dapat menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan aplikasi ilmu falak.

 Program ini dimulai dengan Taklimat Pengurusan Balai Cerap Al-Khawarizmi oleh Encik Nor Nazmi Bin Razali, Pegawai Sains, Jabatan Mufti Negeri Melaka diikuti pula dengan Taklimat Kaedah Penentuan Awal Bulan Islam di Malaysia dan Taklimat Kaedah Penentuan Arah Kiblat oleh Ustaz Muhammad Saifullah Bin Dimyati, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka. Selepas selesai sesi taklimat ini, para pelajar berpeluang melakukan semakan arah kiblat secara praktikal menggunakan cahaya matahari dan menonton tayangan planetarium serta melawat ke Galeri Pameran Interaktif.

 Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan lancar dan objektif program telah tercapai dengan jayanya di samping dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Mufti Negeri Melaka melalui aspek pendidikan.