Sumber: Shahida Binti Nordin

SK Limbongan, Melaka - Program Khidmat Komuniti Ilmiah: JMSK Prihatin di Sekolah Kebangsaan Limbongan Melaka adalah bertujuan untuk meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah rendah terhadap matapelajaran sains dan matematik bagi melahirkan insan yang perpengetahuan dan berkebolehan tinggi. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Matematik, Sains & Komputer, Politeknik Melaka ini diharapkan mampu memberi perangsang kepada pelajar-pelajar supaya menanam minat dan sayangkan mata pelajaran Sains dan Matematik serta minat kepada teknologi dan juga dapat melahirkan murid yang berketerampilan, kreatif dan inovatif. Selain itu program ini juga dapat memupuk sikap positif dan keseronokan dalam pembelajaran sains dan matematik serta mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah di samping melatih kemahiran asas Matematik, Sains dan Komputer.

Sehubungan itu, Program Khidmat Komuniti Ilmiah: JMSK Prihatin telah dilaksanakan pada 26 September 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan Limbongan Melaka yang melibatkan 11 orang pensyarah dan staf JMSK bersama 21 orang AJK siswa siswi Politeknik Melaka. Para peserta terdiri daripada 40 orang pelajar SK Limbongan Melaka. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung seperti Place It Right, Do It Yourself (Solar Car), Rainbow Tower, Wheel of Fortune, Electric Touch Maze Game, Fun Math dan Homemade Bubbles.

Objektif program adalah memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang Sains dan Matematik seterusnya memupuk minat pelajar terhadap bidang tersebut. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha dalam mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang menyeronokkan.

Program dimulakan dengan sesi Ice Breaking dan pembahagian kumpulan pelajar. Seterusnya program disambung dengan aktiviti berkumpulan di mana setiap kumpulan pelajar perlu menyiapkan tugasan-tugasan berasaskan sains dan matematik pada Check Point yang telah ditetapkan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana program ini telah berjalan dengan lancar mengikut tentatif yang telah dirancang tanpa halangan cuaca dan lain-lain faktor. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada JMSK, PMK kerana memilih SK Limbongan sebagai lokasi program. Pihak sekolah berharap agar lebih banyak program bermanfaat sebegini dijalankan di SK Limbongan pada masa akan datang.

Kemuncak program ialah majlis penutup yang bertempat di Makmal Komputer SK Limbongan Majlis penutup ini telah dihadiri oleh Pengarah Politeknik Melaka, Sr. Hj. Razali Bin Johari, Timbalan Pengarah, Pn. Zeyana Binti Abdullah dan Timbalan Pengarah II, Dr. Azlan Bin Muharam dan Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer Pn. Hawa Binti Bentong. Selain itu, ia turut dihadiri oleh Pn. Rahayu Binti Thith, Guru Besar SK Limbongan, En Amirul Safwan bin Hj Anuar, Ketua Panitia Matematik dan Pn Noorzeelah binti Mat Lajis, Ketua Panitia Sains. Tn. Pengarah PMK telah merasmikan majlis penutup dan seterusnya menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada para pemenang.

Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama kedua-dua pihak. Majlis bersurai pada pukul 2.00 petang. Hasil program mendapati bahawa objektif program ini telah tercapai iaitu memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang Sains dan Matematik seterusnya memupuk minat pelajar terhadap bidang tersebut. Maka secara keseluruhannya yang utama, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan. Disamping itu dapat mempromosikan Politeknik Melaka kepada masyarakat luar dan dapat mencari peluang-peluang untuk mewujudkan hubungan kolaborasi.