BENGKEL PELARASAN I-FRP DAN PEMURNIAN ITEM RANCANGAN MENGAJAR YANG EFISIEN

Oleh: Adlena Hany Binti Abu Adam (Sumber dari Norraihan Mohd Aini)

Melaka - Fail Rekod Pensyarah atau iFRP merupakan sebuah dokumen atas talian yang digunakan oleh para pensyarah Politeknik Melaka (PMK) sebagai panduan kepada mereka dalam melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) supaya ia berjalan lancar dan teratur. iFRP akan disediakan oleh setiap pensyarah melalui Sistem Pengurusan Maklumat Politeknik (SPMP) pada setiap semester. iFRP juga akan disemak dua kali pada setiap semester oleh Ketua Jabatan masing-masing.

Pada 8 Ogos 2023, satu bengkel ‘Pelarasan i-FRP dan Pemurnian Item Rancangan Mengajar yang Efisien’ telah berlangsung di TECC Room 2, Politeknik Melaka dengan kehadiran oleh Timbalan Pengarah, Puan Zeyana binti Abdullah, Ketua-ketua Program, Ketua-ketua Kursus, Penyelaras Kualiti Jabatan serta pegawai dari Unit Jaminan Kualiti (UJK) sendiri.

Bengkel ini mempunyai tiga objektif utama, pertama adalah untuk memastikan semua pensyarah PMK telah menyedia dan mengemaskini iFRP masing-masing mengikut kehendak prosedur kualiti yang telah ditetapkan. Seterusnya, sebagai persediaan menghadapi Audit Dalaman dan Audit Luaran yang akan diadakan di Politeknik Melaka. Ketiga, bengkel ini juga, merupakan satu proses pencegahan supaya para pensyarah tidak melakukan kesilapan di dalam proses PdP terutamanya semasa penyediaan iFRP dan di dalam penulisan Rancangan Mengajar.

Bengkel ini juga bertujuan untuk merangka, menyusun dan menyelaras item-item berkaitan Rancangan Mengajar bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) berjalan dengan lancar selaras dengan sasaran kerja yang telah ditetapkan oleh JPPKK dan mencapai Key Performance Index Politeknik. 

Timbalan Pengarah, Puan Zeyana binti Abdullah berharap agar melalui bengkel yang berkesan ini dapat memastikan gerak kerja warga Politeknik Melaka adalah lebih jelas dan terarah terutamanya penyampaian PdP oleh para pensyarah Politeknik Melaka. Puan Timbalan Pengarah juga berharap agar wakil setiap jabatan dan unit dapat menyampaikan maklumat yang dibincangkan dan diselaraskan itu kepada jabatan dan unit masing-masing.

Melalui bengkel ini juga, semua peserta dapat menyalurkan pandangan dan pendapat yang bernas dan secara tidak langsung membantu pihak UJK untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan penyelarasan iFRP yang melibatkan pelbagai jabatan dan unit.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah banyak membantu semua jabatan dan unit untuk membuat persediaan audit dalaman dan luaran yang akan berlangsung di waktu yang terdekat ini. Oleh itu, semoga hasil daripada pelarasan bengkel ini dapat memberi manfaat kepada semua warga PMK untuk meningkatkan kualiti hasil pembelajaran.