Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik 2023 Politeknik Melaka
15 Mei 2023 – Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik Politeknik Melaka telah diadakan di Dewan Serbaguna, Politeknik Melaka (PMK) pada 15 Mei 2023. Sijil kolaborasi merujuk kepada suatu penyataan dan persetujuan awal pihak-pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti di peringkat jabatan dan institusi tanpa mewujudkan suatu ikatan undang-undang terhadap hasrat kerjasama yang ingin dilaksanakan antara kedua-dua pihak. Majlis telah dihadiri oleh 21 orang pengurusan tertinggi industri atau agensi dari 12 syarikat atau agensi yang bersetuju untuk menjadi rakan kolaborasi PMK. Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi PMK yang terdiri daripada Timbalan Pengarah , Ketua Jabatan dan Ketua Unit. Rakan industri atau agensi yang terlibat adalah UAC Berhad, Kosmo Bina Constructions Sdn Bhd., Khidmat Jaya Ent. Sdn Bhd. , Pusat Asasi STEM UMT, Pejabat Perikanan Negeri Melaka, Mycest Solution, Badan Kesukarelawan Al-Taqwa MAIM, Zielmark Sdn.Bhd., Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Persatuan Penduduk Taman Pahlawan, University of Cyberjaya dan SMK Klebang Besar. Majlis bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Majlis ini diadakan bagi tujuan mengeratkan serta mengukuhkan lagi hubungan kolaborasi antara Politeknik Melaka dengan industri. Selain itu, majlis menandatangani sijil kolaborasi strategik ini diadakan bagi memastikan jalinan kerjasama antara Politeknik Melaka dan industri atau mana-mana agensi sentiasa diteruskan dengan program-program bermanfaat untuk kebaikan kedua-dua pihak. Diharapkan majlis ini dapat memberi dampak kepada imej dan keterlihatan Politeknik Melaka sebagai penyedia TVET utama di Malaysia.