Politeknik Melaka, 5 April 2023 – Program Projek Semarakkan Ramadhan, Eratkan Ukhwah merupakan program ulung kali yang dibuat oleh Puspanita PMK bagi menyemarakkan bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Hasil kerjasama dengan CESAC dan MESAC PMK menjadikan program ini sangat meriah ditambah dengan ahli Puspanita yang berkumpul bersama-sama bergotong-royong bagi menjayakan projek membuat kuih onde-onde ini. Persiapan awal telah dibuat dengan membeli barangan keperluan hasil sumbangan ahli Puspanita dan warga PMK.

 

Segala peralatan memasak telah dibawa oleh ahli Puspanita sendiri menunjukkan betapa keprihatinan dan eratnya kerjasama yang dijalin sesama mereka. Tidak ketinggalan juga, suri PMK ini berkumpul bergilir-gilir mengikut kelapangan masa masing-masing daripada pagi sehingga petang iaitu ketika proses bahan mentah disediakan sehinggalah kepada pembuatan kuih dan akhirnya pembungkusan dan pengagihan kepada warga PMK. Sebanyak 647 bungkus dapat diberikan kepada mereka iaitu sekitar 4200 biji onde-onde dapat dihasilkan. Keseronokan dan kegembiraan yang sukar diungkap dengan kata-kata tergambar di wajah masing-masing walaupun kepenatan, tetapi rasa dapat berkongsi sesuatu di bulan yang mulia ini menjadikan satu kepuasan dan kesyukuran kepada mereka.

Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi dan dikekalkan demi sebuah ikatan ukhwah di kalangan suri dan warga Politeknik Melaka.